suria

Rakyat Malaysia dapat cuti mengundi, orang Singapura tak puas hati!


SERAMAI 80 atau lebih pekerja Malaysia yang bekerja di Ikea Singapura telah diberi cuti tambahan sehari pada 9 Mei bagi membolehkan mereka mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Sebelum kerajaan mengisytiharkan 9 Mei sebagai cuti umum, timbul kebimbangan dalam kalangan rakyat Malaysia apabila hari pengundian dibuat pada hari bekerja, menyebabkan ramai yang tidak dapat pulang mengundi.

Singapura sendiri mempunyai kira-kira 400,000 rakyat Malaysia sebagai tenaga kerja.

Melihat situasi ini dan sebagai tanda menghormati hak kakitangan, Ikea Singapura mengambil langkah memberikan cuti tambahan kepada pekerja dari Malaysia untuk mereka mengundi.

Pengurus pekerjaan dan pampasan Ikea Southeast Asia, Aldys Kong memberitahu Kementerian Sumber Manusia: "Kami menjalankan tanggungjawab sosial dengan serius dan kami mahu membolehkan rakan sekerja kami juga menjalankan tanggungjawab masing-masing.

"Manfaat ini akan memudahkan mereka menggunakan hak untuk mengundi dalam pilihan raya Malaysia. Sesiapa yang memerlukan lebih dari satu hari cuti perlu memohon cuti tahunan."

Bagaimanapun langkah ini tidak disenangi segelintir rakyat Singapura yang berasa tidak puas hati dengan keputusan itu, menganggap ia sebagai satu bentuk diskriminasi oleh syarikat perabot dari Sweden tersebut.

Satu posting di laman forum tempatan hardwarezone.com.sg mempersoalkan mengapa cuti tambahan diberikan kepada mereka tetapi tidak diberikan kepada warga Singapura.

Selain itu, mereka yang tidak puas hati itu juga menulis terus kepada ahli Parlimen tempatan dan Kementerian Sumber Manusia, supaya siasatan terhadap perkara ini yang dianggap melibatkan hak rakyat Singapura dapat dibuat.

Selain Ikea, pengendali bas Go-Ahead Singapura juga akan memberi sokongan kepada kakitangannya dari Malaysia melalui perancangan penelitian jadual syif, lapor Channel NewsAsia.

Ikea Singapura, PRU14

Artikel Berikut

Artikel Lain