suria

Pengumuman penting Tun M Ahad ini

Antara poster dimuat naik di MMFC berhubung pengumuman penting yang akan diumumkan Ahad ini.

ALOR SETAR: Pengerusi Pakatan Harapan (Harapan), Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka mengumumkan kerusi ditandinginya pada PRU14, Ahad ini.

Mahathir berkata, beberapa pengumuman penting akan dibuat pada program Jelajah Harapan Langkawi, berdekatan Padang Mat Sirat, pada malam tersebut.

Menurutnya, beliau juga akan membicarakan beberapa perkara penting berkenaan isu dalam negara yang perlu diketahui rakyat agar dapat memilih calon terbaik pada PRU14.

“Pada Ahad ini, Harapan akan adakan satu perhimpunan melibatkan kesemua parti yang bersatu dalam usaha melawan BN. Semua pemimpin tertinggi parti juga hadir, antaranya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail (Presiden PKR), Mohamad Sabu (Presiden Amanah) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden Bersatu,” katanya, menerusi kenyataan di Facebook rasmi parti itu.

Mahathir turut mengajak semua penduduk Langkawi termasuk dari tanah besar Kedah untuk hadir pada ceramah perdana itu.

“Saya ingin ajak semua datang walaupun dari tanah besar Kedah, sebab kita akan bicarakan perkara penting. Saya harap penduduk Langkawi dan daratan akan hadir,” katanya.

Jelajah Harapan Langkawi akan diadakan pada malam Ahad, bertempat di Bulatan Lapangan Terbang Padang Mat Sirat, Langkawi.

Berdasarkan kepada pemerhatian, spekulasi kerusi pilihan Mahathir bakal terjawab pada hari itu setelah beberapa kali diasak agar segera memuktamadkan keputusannya.

Tidak mustahil teka teki di mana Tun M bertanding akan terungkai selepas ura-ura beliau memilih Langkawi diperkatakan sejak seminggu lalu.

Malah desakan akar umbi turut menyaksikan agar Mahathir memilih Langkawi kerana lebih sinonim dengan pulau legenda itu.

Beberapa laman Facebook rasmi Bersatu termasuk Mukhriz Mahathir FC (MMFC) turut memuat naik poster berhubung pengumuman penting yang akan dibuat pada majlis tersebut.

Sebelum ini, Mahathir disebut-sebut bakal bertanding di salah satu antara tiga kawasan, iaitu Langkawi, Kubang Pasu atau Putrajaya.

Namun ramai yang meramalkan kecenderungan beliau untuk memilih Langkawi.Pasti ramai yang ternanti-nantikan pengumuman yang dijangka dibuat oleh Wan Azizah pada malam tersebut, dan dijangka hanya kerusi panas Langkawi akan diumumkan.

Manakala bagi kerusi Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir kemungkinan belum diumumkan, namun sebarang kemungkinan tertakluk kepada mesyuarat parti yang diadakan sebelum Ahad ini. - Sinar Online

Tun M, PRU14

Artikel Berikut

Artikel Lain