suria

Disuruh beri ucapan, budak autisme ini luah perasaan 'saya bukan budak suruhan'

Paparan skrin video luahan Abedin yang merupakan kanak-kanak autisme tular di media sosial. Foto Athia Azbi

PETALING JAYA: Sebuah video seorang kanak-kanak autisme teruja membuat ucapan sempena Hari Kesedaran Autisme Sedunia, minggu lalu, tular.

“Janganlah marah kami, kami ni baik saja, kami ni istimewa. Bila saya kena marah dengan cikgu, saya menyesal. Bila saya cuba berusaha lepas tu tak boleh, waktu tu kat kompleks sukan, saya lari lambat. Saya tak boleh lari laju,” ucap budak lelaki dalam video berkenaan yang dikenali sebagai Abedin.

Video yang pada mulanya dirakamkan oleh ibu Abedin untuk tujuan ucapan berdurasi hampir dua minit itu bagaimanapun bertukar emosi apabila kanak-kanak itu tanpa disangka-sangka meluahkan kesedihan terhadap nasib yang menimpanya di sekolah.

“Tapi saya bukan budak suruhan. Nanti saya bukan budak yang baik, bukan budak masa depan. Habis, siapa yang nak tolong saya? Kalau kat sekolah, kena marah dengan cikgu lagi. Kena buli dengan kawan-kawan lagi,” tambah Abedin menerusi video itu yang dikongsi lebih 1,000 kali.

Ibu Abedin, Noor Ain Awang Zainudin, 32, pada Rabu menjelaskan bahawa anaknya yang berusia sembilan tahun itu sebenarnya mengalami masalah dari segi komunikasi apabila perkataan atau istilah yang digunakan kadang-kadang membawa maksud berbeza daripada apa yang cuba disampaikan.

“Dalam video tu, Abedin kata dia menyesal lepas kena marah cikgu. Sebenarnya, dia nak sampaikan bahawa dia menyesal sebab dia tak dapat lari laju.

“Bila dia kata ‘Abedin bukan budak suruhan’ tu bermaksud dia meluahkan kesedihannya kerana tak dapat mengikut seperti yang diharapkan guru-gurunya, bukannya dia dijadikan budak suruhan. Macam yang dia kata tumbuk tu, bukanlah bermaksud dia tumbuk pun,” katanya kepada mStar Online.

Walaupun menghidap autisme, Abedin disifatkan seorang yang rajin dan mendengar kata.

Noor Ain yang menetap di Raub, Pahang berkata, Abedin yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik itu turut mengalami Gangguan Obsesif Kompulsif (OCD) yang mementingkan kesempurnaan dalam semua arahan dan tugasan.

Disebabkan OCD itu, Noor Ain yang bekerja sebagai penyelia asrama berkata, emosi anaknya mudah terganggu apabila tidak boleh menerima kegagalan.

Tambahnya, gangguan emosi Abedin akan memberi kesan kepada anaknya itu dan persekitaran dengan 'buat perangai' atau tantrum.

Bagaimanapun, Noor Ain memberitahu, anaknya itu sebenarnya seorang yang rajin, suka membantu dan mudah mendengar kata.

“Abedin rajin buat kerja sekolah, sanggup tak tidur dulu nak buat kerja sekolah. Tapi kalau dia tertidur, nanti dia akan sedih sebab tak siapkan kerja sekolah tu dulu.

“Dia pun rajin buat kerja rumah. Dia boleh ambil baju kotor dan masukkan dalam mesin basuh lepas tu cuci dan jemur. Dia juga boleh memasak. Walaupun Abedin menghidap autisme, tapi saya bersyukur dia seorang anak yang baik dan bertanggungjawab,” katanya yang turut mempunyai seorang anak menghidap gangguan kurang daya tumpuan dan hiperaktif atau Attention Deficit/Hyperactive Disorder (ADHD) dan disleksia, berusia lapan tahun.

Abedin bersama salah seorang adiknya yang menghidap ADHD dan disleksia.

Menurut wanita itu, Abedin yang kini belajar di Tahun Tiga tidak dimasukkan di bawah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) sejak tahap prasekolah atas nasihat pakar.

Walaupun mungkin guru-guru dimaklumkan mengenai anaknya menghidap autisme, katanya, emosi Abedin masih terganggu di sekolah terutama apabila segelintir guru didakwa tidak dapat mengawal keadaan itu dengan baik.

“Berdasarkan penelitian pakar, Abedin seorang yang cepat belajar dan keputusan peperiksaannya bagus, sebab itu dia tidak ditempatkan dalam PPKI. Tapi hakikatnya, dia autisme yang memerlukan perhatian dari segi kawalan emosi.

“Guru-guru dalam PPKI pastinya tahu macam mana mengendalikan anak-anak istimewa ini. Tapi saya berpendapat guru-guru di aliran biasa juga perlu didedahkan mengenai kemahiran mengawal emosi dan menerapkan elemen positif dalam diri anak-anak istimewa ini seperti autisme,” katanya.

Abedin, autisme, PPKI

Artikel Berikut

Artikel Lain