suria

Jom sama-sama budayakan sains untuk masa depan negara

LEPASAN sekolah yang keliru mengenai bidang yang ingin disertai di peringkat pendidikan tinggi seharusnya menyahut seruan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyemai minat dalam bidang sains dan meletakkan ia sebagai keutamaan di semua peringkat.

Susulan pengumuman yang dibuat oleh perdana menteri sewaktu pembentangan Bajet 2018 tahun lalu, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi ditugaskan untuk meningkatkan minat dan kesedaran anak muda mengenai sains, teknologi dan inovasi (STI).

"Untuk menjadi negara berpendapatan tinggi, kita perlu ada kemahiran untuk menguasai bidang STI.

"Minat generasi muda dalam sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (Stem) perlu ditingkatkan bagi memastikan negara ini ada golongan yang akan memberi sumbangan kepada negara pada masa akan datang," ujar Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau sewaktu pelancaran Minggu Sains Kebangsaan (1 hingga 7 April).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (dua, kiri) merasmikan Minggu Sains Negara bertemakan ‘Negaraku Berinovasi’ di Pusat Sains Negara. Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Mohd Azhar Yahaya (dua, kanan) dan Timbalan Ketua Setiausaha (RK) Datuk Kua Abun (kiri) dan Timbalan Setiausaha Sains, Teknologi dan Inovasi MOSTI Prof Madya Ramzah Dambul (kanan). -fotoBERNAMA

Jelasnya lagi, objektif utama Minggu Sains Kebangsaan yang tampil dengan tema Negaraku Berinovasi bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap peranan sains dan teknologi serta bagaimana ia boleh memberi kesan kepada aspek sosial dan ekonomi negara.

Negaraku Berinovasi menekankan kepentingan inovasi. Ujarnya, menerusi inovasi, ia dapat memperbaharui proses, teknologi atau produk, seterusnya dapat mengurangkan kos dan meningkatkan nilai produktiviti dan kecekapan.

"Tema ini menggalakkan seluruh masyarakat berfikir, bertindak dan membangunkan kreativiti baharu untuk memberi manfaat kepada semua.

"Ia sudah tentu tidak boleh dicapai dalam masa sehari tetapi perlu disemai dan diusahakan sehingga sasaran kita tercapai," katanya.

Tangau berkata cabaran yang dihadapi negara ini ialah masa depan bergantung kepada perkembangan STI dan bagaimana kita mengawal teknologi yang menjadi persoalan.

"Mengambil kira hal itu, kementerian akan berterusan mengadakan program kesedaran agar STI terus membangun.

"Sebagaimana kita bergerak ke arah Revolusi Industri Keempat, kita akan ketinggalan sekiranya tidak mempunyai kepakaran dalam bidang Stem," kata Tangau.

Ujarnya, Bajet 2018 memperuntukkan RM25 juta untuk membangunkan pusat Stem kebangsaan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan untuk melatih guru dan membangkitkan minat mereka dalam Stem.

Pusat itu dijangka akan memberi manfaat kepada 138,330 guru Stem dan lebih lima juta pelajar di negara ini," ujar Tangau dalam majlis pelancaran Minggu Sains Nasional pada 3 April di Kuala Lumpur.

Minggu Sains Kebangsaan menandakan permulaan kejayaan pendekatan strategik kementerian untuk meningkatkan minat pelajar dalam Stem.

Program tahunan ini menyasarkan nisbah 60:40 pelajar sains dan seni, dengan 60 peratus daripada mereka memilih aliran sains dan selebihnya memilih aliran seni.

Nisbah pembahagian ini pastinya akan mempersiapkan generasi muda Malaysia untuk menjadi lebih berpengetahuan dan mempunyai kemahiran dalam bidang Stem untuk memenuhi keperluan negara pada masa akan datang.

"Menerusi penganjuran Minggu Sains Kebangsaan, kementerian berharap ia akan mengukuhkan kesedaran dalam sains dan meningkatkan minat dalam subjek sains dan matematik.

"Ia juga penting untuk mendidik orang ramai mengenai kepentingan sains dan bagaimana ia sebenarnya digunakan dalam kehidupan kita setiap hari," ujar Setiausaha Agung Kementerian, Datuk Seri Dr Azhar Yahaya.

"Menerusi penganjuran ini, 13 negeri di Malaysia akan mengadakan pameran, ceramah, permainan, pertandingan, eksperimen sains dan sebagainya di beberapa venue terpilih manakala acara utama diadakan di Pusat Sains kebangsaan.

"Kita percaya, dengan menggerakkan pihak-pihak terlibat untuk tampil bersama, kita boleh menggalakkan penghargaan terhadap kepentingan sains dalam kehidupan seharian dan melahirkan lebih ramai bakat baharu dalam bidang sains selari dengan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

"Kini, hanya ada 48 peratus pelajar dalam bidang Stem. Kita berharap peratusan ini akan meningkat dalam 10 ke 12 peratus bagi memastikan kita ada sumber manusia mencukupi dalam tempoh 30 tahun lagi," ujarnya.

Sewaktu pelancaran, Tangau menyampaikan Anugerah Saintis Muda Kebangsaan, Anugerah Ahli Teknologi Kebangsaan, dan Anugerah Khas Stem serta hadiah, plaq dan sijil kepada ahli Stem dan STI atas sumbangan mereka selama ini.

Menerusi Minggu Sains Kebangsaan, aktiviti diadakan di seluruh negara menggalakkan anak muda lebih tertarik kepada bidang sains seperti ceramah penerokaan angkasa di Melaka, pameran teknologi nuklear di Negeri Sembilan dan bengkel DNA di Sarawak.

Acara itu mencatatkan kehadiran lebih kurang 6,000 pengunjung (1-5 April) yang menyertai 25 aktvititi diadakan, termasuklah bengkel pemasangan robot, program the Science Chef in Action! yang melibatkan 1,700 'robobugs' ciptaan pelajar berusia 11 hingga 145 tahun dan ia dierekodkan dalam Malaysia Book of Record.


Minggu Sains Kebangsaan, STI, STEM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain