suria

Sidang media SPR tak umum tarikh pilihan raya

Tan Sri Mohd Hashim Abdullah

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mengumumkan tarikh penamaan calon dan pengundian walaupun mengadakan sidang media khas, Sabtu.

Ini kerana SPR belum menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dari semua negeri, kata pengerusinya Tan Sri Mohd Hashim Abdullah.

Katanya, setakat ini pihaknya hanya menerima pemakluman rasmi pembubaran DUN daripada Perlis, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor yang dibuat oleh Speaker DUN masing-masing.

"Pemakluman rasmi daripada negeri-negeri lain masih belum diterima walaupun ada pembubaran di beberapa negeri yang telah dilaporkan oleh media namun kami tidak menerima secara rasmi daripada Speaker DUN Negeri masing-masing," katanya.

Bercakap pada sidang media bersempena Simulasi Bilik Gerakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 di ibu pejabat SPR di sini pada Sabtu, Mohd Hashim berkata SPR akan menetapkan tarikh untuk mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan  tarikh penting PRU selepas menerima semua pemakluman tersebut.

"Ini termasuklah tarikh Writ dan Notis Pilihan Raya, tarikh penamaan calon, hari pengundian awal, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dalam pilihan raya dan persiapan-persiapan lain yang diperlukan bagi melaksanakan pilihan raya," katanya.

Mohd Hashim berkata SPR semalam telah menerima sesalinan pengisytiharan pembubaran Parlimen ke-13 oleh Yang di-Pertuan Agong serta surat pemakluman rasmi yang sama daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat berkuat kuasa pada hari ini. -Bernama
PRU14, tarikh pilihan raya, SPR

Artikel Lain