suria

Pakai skirt ke masjid: “Saya bukannya sakit mental”

Kiri: Gambar yang dimuatnaik oleh Maryam Lee ketika berkunjung ke Masjid Negara pada Selasa. Kanan: Maryam Lee ketika melawat sebuah kuil di Bali, Indonesia pada 2016.

PETALING JAYA: Seorang wanita mencetuskan kontroversi apabila memuat naik gambarnya memakai skirt pendek sehingga menampakkan sebahagian paha ketika berkunjung ke Masjid Negara Kuala Lumpur.

Lebih menimbulkan kemarahan netizen apabila aktivis wanita itu, Maryam Lee Mohamad Ramli Lee didakwa cuba mencetuskan provokasi apabila membuat perbandingan tentang etika berpakaian di tempat suci.

Maryam Lee melalui posting tersebut menulis: "Tahan 30 minit sebelum dihalau keluar masjid kerana 'melanggar adab'.

Aktivis tersebut turut memuat naik perbualannya dengan seorang rakan yang dipanggil Iki.

Kata Iki: "Sangat marah. Islam tidak sepatut menunjukkan kemarahan sebegitu. Itu adalah syaitan."

Balas Maryam Lee: "Iki tahu kan, kalau dekat Jogja (Indonesia), aku tidak dihalau begini."

"Tuhan, berikan aku kekuatan untuk memaafkan mereka yang melakukan kekerasan atas nama Mu," tulisnya pada posting yang dimuat naik pada Selasa.

Paparan skrin perbualan antara Maryam Lee dengan netizen yang mendakwa dia mempunyai sakit mental.

Carian netizen di Twitter pula menunjukkan pengarah siri video Dialog Jalanan tersebut pernah memuat naik gambar menutup anggota badannya dengan sehelai kain dan bertudung ketika berkunjung ke rumah ibadat bagi penganut agama Hindu di Pura Samuan Tiga, Bali, Indonesia pada 2016.

Selepas insiden tersebut tular di laman sosial, Maryam Lee yang pernah dikecam gara-gara kenyataannya berkaitan isu pemakaian tudung yang disifatkan sebagai menindas golongan wanita tambil membela diri di Twitter.

"Memandangkan saya ialah subjek dalam fitnah ini, saya mahu membantah. Saya bukannya sakit mental, saya sangat waras dan siuman.

"Saya sangat sedar tentang setiap perkara yang saya lakukan. Tiada seorang Muslim pun boleh dinafikan hak untuk memasuki masjid mengambil kira pemakaiannya," tulis Maryam Lee selepas dituduh menghidapi sakit mental oleh netizen.

Jelasnya, beliau tidak mempunyai niat lain selain menghadiri majlis penyampaian hadiah dan beranggapan isu provokasi itu dibangkitkan oleh mereka yang tidak mengenalinya dan tidak mengetahui tujuan beliau berada di masjid tersebut.

Paparan skrin Tweet oleh Siti Kasim berkenaan isu pemakaian kurang sopan Maryam Lee di Masjid Negara.

Sementara itu, peguam dan aktivis Siti Kasim dilihat tidak bersetuju dengan perbuatan Maryam Lee itu dan menyifatkannya sebagai aksi kebudak-budakan yang tidak berguna.

"'Feminazis' bersatu menentang saya kerana saya tidak bersetuju dengan tindakan provokasi dan aksi kebudak-budakan yang tidak berguna oleh Maryam Lee," tulisnya di Twitter pada petang Rabu.

Maryam Lee, Siti Kasim

Artikel Lain