Lirik 'Di Hatimu' Untuk Yang Ditinggalkan, Penceramah Percaya Sufian Dah 'Move On' - Semasa | mStar

Lirik 'Di Hatimu' Untuk Yang Ditinggalkan, Penceramah Percaya Sufian Dah 'Move On'

PETALING JAYA: Lagu terbaharu penyanyi Sufian Suhaimi berjudul 'Di Matamu' mendapat sambutan dengan hampir 8 juta tontonan di laman YouTube setakat ini.

Ramai beranggapan lagu tersebut memberi impak susulan kontroversi pertunangan Sufian dengan pelakon Elfira Loy yang terputus.

Bagaimanapun penyanyi berusia 26 tahun itu menegaskan ia tiada kaitan dengan kisah perhubungan mereka, kerana lirik lagu tersebut sudah dicipta sejak tahun lalu. 

Hujung minggu lalu, lagu berkenaan dinyanyikan semula versi 'cover' oleh kumpulan duo yang menggelarkan diri mereka sebagai Salamayn, terdiri daripada Muhammad Naufal Mohamad Isa dan Irwan Fariz Hassan Zaim.

Bertajuk 'Di Hatimu', liriknya berunsurkan Islamik, ditulis oleh seorang penceramah dan pakar motivasi, Aiman Banna, yang menceritakan tentang terdapat hikmah di sebalik peristiwa 'ditinggalkan'.

Malahan di bahagian akhir video tersebut turut memaparkan sedutan salah satu sesi ceramah mengenai persoalan apakah yang perlu dilakukan sekiranya ditinggalkan oleh teman wanita, tunang atau isteri.

"Girlfriend (teman wanita) kita kena rampas, sebab Allah nak rampas dosa besar dalam hidup kita, supaya kita makin rapat dengan Allah.

"Anda patut syukur 'girlfriend' anda kena rampas sebab dosa besar anda dah hilang. Sekarang inilah masa untuk bertaubat. Sebab tak semua benda yang Allah tarik itu benda yang buruk," katanya. 

Penceramah yang dikenali sebagai Ustaz Aiman ketika dihubungi mStar Online berkata, sedutan ceramah di dalam video tersebut merupakan sesi soal jawab mengenai putus cinta, menerusi ceramah yang dibuatnya pada awal tahun lalu.

Aiman Banna atau lebih dikenali sebagai Ustaz Aiman.

Bagaimanapun beliau menjelaskan bahawa lirik yang ditulisnya tidak merujuk kepada Sufian meskipun menggunakan lagu itu untuk versi cover, malah percaya penyanyi itu bersikap matang.

"Sejujurnya lirik lagu tu tidak merujuk kepada Sufian Suhaimi pun. Saya buat untuk ditujukan kepada semua orang sebab saya sangat yakin akhirnya setiap manusia akan ada satu momen ditinggalkan.

"Tak semestinya awek, macam lelaki ditinggalkan 'member' (kawan), suami ditinggalkan isteri. Setiap orang ada pengalaman ditinggalkan. Kita tidak patut meratapi insan yang pergi kerana akhirnya Tuhan yang tidak pernah meninggalkan kita," katanya.

Ustaz Aiman berkata, penggunaan lagu Sufian sebagai versi 'cover' kerana melodinya yang merdu dan 'catchy' didengar, sebagaimana lagu-lagu versi 'cover' yang dinyanyikan Salamayn sebelum ini.

"Tapi bagi pandangan saya, nampaknya Sufian dah 'move on', dah okay. Maksudnya dia pun dah boleh jumpa dengan orang, masuk TV. Ia adalah contoh bila sesuatu berlaku, seseorang itu boleh menghadapinya dengan matang," katanya.

Kumpulan duo Salamayn yang terdiri daripada Muhammad Naufal (kanan) dan Irwan Fariz.

Mengenai lirik 'Di Hatimu,' Ustaz Aiman berkata, ia membawa mesej bahawa setiap apa yang berlaku dalam hidup seseorang mungkin pernah dibuat pada orang lain sebelum ini.

Walaupun apa yang berlaku, katanya, Allah itu Maha Penyayang maka manusia dinasihatkan supaya jangan putus harapan dan bangkit melakukan perubahan ke arah kebaikan.

"Kita pernah buat silap atau orang lain buat silap dengan kita, akhirnya kita kena sedar bahawa yang sempurna itu bukan manusia, tetapi yang sempurna itu adalah Allah," ujar Ustaz Aiman.

Selain lagu Di Matamu - Sufian, antara lagu yang dinyanyikan versi cover oleh kumpulkan Salamayn dengan lirik berunsur Islamik adalah Ustaz Nak Tegur (Abang Nak Tegur - Datuk Seri Aliff Syukri-Sajat), Sempurna (Perfect - Ed Sheeran), Surat Cinta Untuk Baginda (Surat Cinta Untuk Starla-Virgoun).

Aiman Banna , Salamayn , Sufian Suhaimi

Artikel Sebelum

‘Raya’ Semakin Dekat - PM

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Air Selangor kini pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air… pengguna bakal terima bil baharu!

MENDAPATKAN bekalan air bersih yang berterusan sudah menjadi satu kemestian dalam kehidupan masyarakat hari ini.

default image

Percutian travel tren janjikan servis 'awesome' dan 1,001 pengalaman menakjubkan!

TRAVEL serata dunia lebih pantas dengan menggunakan kapal terbang tetapi amat menyeronokan jika tren menjadi pilihan.

default image

Cekap tangani isu sekolah daif, Kementerian Pendidikan sasar selesai tiga tahun lagi

KEMENTERIAN Pendidikan sedang bekerja keras dalam usaha membaiki dan membina semula sekolah yang dalam keadaan daif di seluruh negara.

default image

CPA Australia platform berkualiti, pantas capai kelayakan perakaunan diiktiraf global

JIKA anda mempunyai kelayakan yang sewajarnya dalam industri perakaunan, perbankan dan kewangan, ia boleh memberikan prospek kerja dan kepelbagaian projek kepada anda.

default image

TMM2020: “Malaysia ada makanan sedap, banyak tempat indah dan membeli-belah pun murah” - Muhamaddin Ketapi

MALAYSIA menetapkan sasaran 30 juta pelancong dengan sasaran pendapatan sehingga RM100 bilion untuk TMM2020.

Artikel Lain

Gempar juruterbang kesan UFO bentuk cerut