suria

Rasuah: Anggota Polis Tukar Contoh Urin Dipenjara

KANGAR: Seorang anggota polis dihukum penjara 10 bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, setelah didapati bersalah menerima rasuah bernilai RM1,000 hampir 11 tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Chan Jit Li menjatuhkan hukuman itu terhadap Lans Koperal Shahrul Anuar Abdullah, 50, setelah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes dikemukakan pihak pendakwaan.

Chan turut menetapkan penjara empat bulan terhadap tertuduh yang bertugas di Unit Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar itu, jika dia gagal membayar denda dan menolak permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara terhadapnya.

Shahrul Anuar dituduh menerima rasuah RM1,000 daripada Mohamad Mustaqim Othman melalui akaun simpanan Maybank sebagai dorongan untuk menukar contoh urin Mohamad Farzus Othman dan Che Asri Che Nat yang dikatakan positif dadah pada 1 Nov 2007, pada 5.43 petang di Maybank Berhad Cawangan Kangar, di sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), A.Hafiizh Abu Bakar dan Mohd Alif Farhan Hassan manakala tertuduh diwakili peguam Rahamathullah Baharudeen.-- Bernama

urin, SPRM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain