suria

Murid Menangis, Peluk Cikgu Takut Lihat Bumbung Terbang

Murid-murid Sekolah Kebangsaan (SK) Danau Kota 1 menangis ketakutan apabila melihat bumbung sekolah mereka tercabut semasa angin kencang dan hujan lebat pada Jumaat petang.

KUALA LUMPUR: Murid-murid Sekolah Kebangsaan (SK) Danau Kota 1 menangis ketakutan apabila melihat bumbung sekolah mereka tercabut semasa angin kencang dan hujan lebat pada Jumaat petang.

Dalam kejadian 3 petang itu, beberapa kepingan bumbung bangunan sekolah itu diterbangkan angin  ketika kira-kira 100 murid Tahun Satu  hingga Tahun Tiga sedang belajar pada sesi persekolahan petang.

Murid Tahun Tiga, Qistina Batrisya Syazwan Izzat berkata ada rakan sekelasnya menangis kerana terkejut melihat bumbung yang besar itu jatuh.

"Saya tengok bumbung terbang… kemudiannya saya peluk cikgu dan duduk di belakang pintu kerana takut," katanya kepada Bernama di sini.

Seorang bapa, Muhd Azizul Dahali, 31, berkata anaknya Mohd Azrul Syafiq,7, turut menangis dan trauma selepas melihat kejadian itu.

"Saya tahu kejadian dalam pukul 3, ketika itu guru-guru maklum melalui aplikasi WhatsApp dan meminta kami ambil anak masing-masing.

"Saya terus bergegas keluar pejabat untuk mengambil anak saya yang ketika itu sedang menangis mungkin dia masih teringat kejadian bumbung terbang itu," katanya.

Sementara itu, seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Mohamad, berkata ketika kejadian beliau melihat kepingan bumbung berterbangan sebelum jatuh menghempap kolam yang terletak di antara dua bangunan sekolah berkenaan.

"Ketika itu hujan lebat dan angin kencang, saya sendiri lihat bumbung itu tiba-tiba terangkat sebelum terbang dan jatuh.

"Nasib baik bumbung itu terus jatuh, kalau ia melayang masuk ke kelas memang akan ada pelajar yang cedera," katanya.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Khiruddin Rahman berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Tinjauan Bernama mendapati guru-guru bertindak segera menempatkan murid di kawasan dewan bagi memastikan mereka selamat sebelum ibu-bapa datang mengambil  anak masing-masing.-- Bernama 

Danau Kota

Artikel Lain