suria

Felda Akan Dapat Semula Tanah Jalan Semarak

Kedaan kawasan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) di Jalan Semarak. Foto Bernama

KLUANG: Felda akan mendapat semula tanahnya di Jalan Semarak di Kuala Lumpur pada minggu depan, kata pengerusinya, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

"Geran tanah ada bersama kita dan tanah itu akan menjadi milik kita semula," katanya kepada pemberita pada majlis di Felda Ulu Belitong di sini, Ahad.

Shahrir berkata, tanah itu akan didaftarkan di bawah nama Felda dan sebaik sahaja urusan berkenaan diselesaikan, tanah itu secara rasmi menjadi milik Felda.

"Saya akan mengadakan sidang media di Kuala Lumpur sebaik sahaja kita mendapat semula tanah itu," katanya.

Dalam sidang media itu nanti, Shahrir menjelaskan bahawa beliau akan menunjukkan dokumen-dokumen berkaitan mengenai tanah itu dimiliki Felda sekali lagi. 

"Ia untuk membuktikan bahawa kita merupakan pemilik tanah dan menunjukkan kepada pengkritik kita bahawa Felda akan melakukan apa sahaja untuk mendapatkan semula tanah itu," katanya.

Shahrir berkata, siasatan polis dan siasatan dalaman Felda akan terus dijalankan berikutan terdapat elemen yang meragukan dalam pemindahan pemilikan pada 2015.

"Biar kita selesai dulu pasal isu tanah dan selepas itu, kita akan berunding dengan pemaju projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC)," tambahnya.

Pada 21 Disember lalu dilaporkan bahawa Felda berisiko kehilangan hak milik tanah bernilai kira-kira RM200 juta di Jalan Semarak berikutan perjanjian yang didakwa diragui pada 2015.

Pada Januari lalu, polis merekodkan keterangan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, yang merupakan pengerusi Felda dari Januari 2011 hingga Januari 2017, berhubung perkara itu.

Pemindahan tanah itu dipercayai berlaku selepas Felda Investment Corporation (FIC) melantik syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014, dan ia diberikan kuasa penuh untuk membangunkan tanah itu.

Projek tersebut dibangunkan oleh Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB).

Shahrir berkata, pemaju projek itu secara sukarela bersetuju untuk memulangkan pemilikan semua 16 lot tanah ke Felda tanpa sebarang kos.

Felda, Jalan Semarak, KLVC

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain