suria

LHDN Tingkatkan Ciri Keselamatan Lindungi Data Pembayar Cukai

LEMBAGA Hasil Dalam Negeri (LHDN) menggunakan beberapa infrastruktur yang mengutamakan ciri-ciri keselamatan bagi melindungi data pembayar cukai menerusi sistem e-filing daripada digodam, kata pegawai medianya Masrun Maslim.

Penggodaman menjadi kebimbangan orang awam selepas berlaku kebocoran data global dan kecurian yang dilaporkan berlaku tahun lalu.

Terdapat pembayar cukai yang mempertimbangkan untuk mengisi borang secara manual apabila e-filing individu, perniagaan, majikan dan persatuan dibuka pada 1 Mac ini.

Bagaimanapun, LHDN memberi jaminan bahawa ciri infrastruktur kunci awam itu melindungi kerahsiaan dan ketulenan serta terpelihara daripada perbuatan pemalsuan data.

Daripada kempen wang tebusan global sehingga penggodaman emel Yahoo dan kebocoran maklumat telefon bimbit Malaysia yang menyebabkan data peribadi 46.2 juta pelanggan perkhidmatan telefon dalam bahaya, serangan siber yang semakin meningkat telah mencetus kebimbangan terhadap keselamatan maklumat peribadi yang disimpan di syarikat dan agensi kerajaan.

Lebih 4.3 juta pembayar cukai daripada pelbagai kategori yang terdiri daripada individu, syarikat perkongsian, majikan dan perbadanan - menggunakan e-filing pada tahun lalu, ia adalah tidak memeranjatkan apabila ramai berasa bimbang tentang integriti platform pembayaran cukai secara dalam talian di negara ini.

Menurut Masrun, LHDN turut menyediakan platform dalam talian itu dengan Lapisan Soket Terjamin (SSL) bagi memastikan keselamatan data terpelihara sewaktu penghantaran pengembalian cukai pendapatan dilakukan.

Ciri keselamatan lain adalah seperti 'firewalls', aplikasi anti-virus dan Sistem Pencegahan Pencerobohan (IPS) yang akan menghalang akses dengan niat jahat dan ancaman pencerobohan siber lain kepada sistem LHDN dan keselamatan rangkaian.

LHDN, e-filing

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain