suria

Pergaduhan Dua Rakan Bertukar Tragedi Ngeri

Kejadian berlaku awal pagi Ahad.

KUALA LUMPUR: Pergaduhan dua rakan sekerja bertukar menjadi tragedi ngeri apabila seorang maut ditikam manakala seorang lagi bertindak menggantung diri selepas dipercayai menikam rakan dan mencederakan majikan mereka, Ahad.

Dalam kejadian kira-kira 1 pagi  di sebuah kedai runcit di Taman Selayang Batu Caves itu, seorang lelaki warga India berusia 32  tahun dipercayai telah  menikam rakan senegaranya yang berusia 51 tahun dan majikan mereka, warga tempatan berketurunan India Muslim.

Menurut sumber polis, lelaki yang dikenali sebagai Aathamsa Raja Mohammed itu ditemui tergantung di  dalam kedai berkenaan manakala rakannya, Sahubar Ali didapati  terbaring dengan kesan tikaman di tempat kejadian.

Majikan mereka, Mohammad Rasul Mohd Hanifa, 42, yang cedera parah di bahu dan kepala ditemui berhampiran kedua-dua mangsa.

Mangsa kini dirawat di Hospital Selayang manakala kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Menurut sumber itu siasatan awal polis mendapati Rasul cedera semasa cuba meleraikan pergaduhan kedua-dua pekerjanya tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak ACP Ali Ahmad yang dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan berkata motif kejadian masih dalam siasatan.- Bernama

Gaduh, bunuh

Artikel Lain