“Saya Tinggal Sehelai Sepinggang” - Semasa | mStar

“Saya Tinggal Sehelai Sepinggang”

Man (bukan nama sebenar) kini tinggal sehelai sepinggang selepas kesemua barangnya terbakar dalam tiga kejadian berasingan.

BUKIT BERUNTUNG: Misteri kejadian pelbagai barang terbakar secara tiba-tiba di Rumah Teduhan Kasih di sini, terus berlarutan.

Memasuki hari ke-11 pada Rabu, lebih 10 insiden api misteri direkod berlaku di pusat pemulihan penagih dadah itu dalam masa sehari.

Salah satu kejadian disaksikan sendiri wartawan mStar Online ketika menemuramah pengarah pusat itu, di mana api misteri menyambar sehelai baju kemeja yang dijemur bersama pakaian lain di ampaian di halaman rumah itu.

Berdasarkan tinjauan, beberapa kesan terbakar dapat dilihat di beberapa kawasan dalam dan luar rumah seperti dinding, almari, rumput, bantal dan tilam.

Ia termasuk beberapa helai kain dan baju serta baldi yang berisi air hangus dijilat api.

Susulan kejadian demi kejadian misteri itu, seorang daripada 37 penghuni Rumah Teduhan Kasih kini tinggal sehelai sepinggang selepas kesemua barang miliknya musnah terbakar dalam beberapa insiden.

Kesan kebakaran.

Man (bukan nama sebenar), 31, memberitahu kejadian pertama menimpanya adalah pada kira-kira pukul 10 pagi akhir bulan lalu.

"Api misteri itu membakar beberapa helai baju dan seluar yang disimpan di dalam beg di tingkat atas rumah.

"Insiden kedua berlaku membabitkan beg yang menyimpan barang-barang peribadi yang terbakar bersama beberapa beg lain kepunyaan penghuni lain," katanya ketika ditemui mStar Online di sini, Rabu.

Pemuda yang berasal dari Kuantan, Pahang ini berkata, kejadian terbaharu adalah pada minggu lalu yang membakar baki baju dan seluarnya yang dijemur di ampaian di halaman rumah.

"Bukan setakat beg, baju dan seluar... tuala saya pun terbakar. Sekarang saya tinggal sehelai sepinggang," ujar yang telah menghuni di pusat itu selama tiga bulan.

Seorang lagi penghuni, Hafiz (bukan nama sebenar), 21, mendedahkan dirinya sebagai individu terawal yang menyaksikan insiden pertama pada 28 Januari lalu.

Hafiz antara individu terawal yang menyedari insiden api misteri di Rumah Teduhan Kasih.

Berkongsi detik-detik cemas itu, anak kelahiran Marang, Terengganu itu berkata, ketika kejadian dia mahu mengambil pakaian di dalam almari untuk mandi pada kira-kira pukul 11.45 pagi.

"Ketika nak ambil baju dalam almari yang dikongsi bersama dua lagi kawan. Saya ada bau hangit, tanya rakan-rakan lain pun, mereka pun ada bau.

"Bila buka almari, saya terkejut nampak baju seorang kawan saya terbakar sikit. Kami cepat ambil air untuk padamkan api," katanya.

Hafiz yang telah menghuni pusat itu selama lebih lima bulan berkata, pada mulanya dia dan rakan-rakan lain menganggap ia sebagai perbuatan khianat.

"Tetapi kejadian kedua berlaku pada keesokan pagi dan berlarutan sehingga kini. Jadi, kami rasa 'sesuatu' berlaku," katanya.

Sementara itu, Pengarah Rumah Teduhan Kasih, Jaafar Daud berkata, selain bantuan beberapa pengamal perubatan untuk merungkai kejadian api misteri, orang perseorangan turut membantu menyumbangkan pakaian buat penghuni.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatangkuasa Perhubungan Pengasih Negeri Selangor berkata, malah penghuni lain turut berkongsi pakaian mereka yang bersama-sama menghadapi keadaan yang sehingga kini terus menimbulkan tanda tanya.

Rumah Teduhan Kasih

Artikel Sebelum

“Tarian Itu Boleh Mengundang Godaan”

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Penerima sulung Anugerah Ikon Pesara sebak imbau saat bersama kanak-kanak disleksia – “Persaraan berbaloi... ada jadi pilot, arkitek dan peguam”

KARNIVAL Rasa Sayang (KRS) 2019 anjuran KWAP membuka mata bakal pesara dan pesara untuk bergiat aktif selepas persaraan.

default image

Putrajaya... tak kenal maka tak cinta

PUTRAJAYA dibina atas sebuah impian. Dan berdasarkan beberapa pertimbangan, ia merupakan lokasi impian untuk didiami.

default image

15 prinsip tulang belakang untuk capai matlamat WKB2030

LIMA belas prinsip panduan digariskan berasaskan tiga aspek penting iaitu pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta negara bersatu, makmur dan bermaruah.

default image

Merangsang Korporat Malaysia, PNB rangka strategi bersama pemimpin korporat kukuhkan ekonomi negara

SEJAJAR usaha Malaysia untuk menjadi kuasa ekonomi, adalah tepat pada masanya bagi sektor korporat negara meninjau ke arah langkah-langkah perubahan.

default image

Penggunaan air di Malaysia lebih tinggi daripada negara jiran? Jom kita jimat air!

ADAKAH penggunaan air kita setiap hari ke arah penjimatan atau pembaziran?

Artikel Lain