suria

PPA1M Pertama Siap Tanpa Guna Duit Kerajaan - Najib

Datuk Seri Najib Tun Razak bergambar di hadapan PPA1M Bukit Jalil pada Majlis Penyerahan Kunci PPA1M Bukit Jalil pada Selasa. Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa dan Presiden Tetuan Aset Kayamas Sdn Bhd, Tan Sri K K Chai (dua, kiri). Foto AZHAR MAHFOF/The Star

KUALA LUMPUR: Projek Perumahan Awam 1Malaysia (PPA1M) Bukit Jalil, yang pelaksanaannya siap 17 bulan lebih awal, merupakan projek pertama seumpama itu yang dibina tanpa menggunakan duit kerajaan hasil pelaksanaan konsep kaedah subsidi bersilang, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana menteri berkata, menerusi konsep tersebut, pemaju membangunkan perumahan itu untuk kerajaan dan dibenarkan membangunkan pula projek perumahan di tanah bersebelahan yang akan dijual pada harga pasaran kepada orang awam.

"Kaedah subsidi bersilang ini dilaksanakan secara 60:40 iaitu 60 peratus dengan keluasan 7.67 ekar (3.068 hektar) dibangunkan untuk projek PPA1M yang dikawal kerajaan dari segi harga, keluasan dan juga kualiti.

"Manakala 40 peratus lagi iaitu dengan keluasan 5.11 ekar (2.044 hektar ) dibenarkan kepada pemaju untuk membina perumahan pada harga pasaran semasa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan 1,536 kunci rumah kepada penjawat awam bagi projek PPA1M Bukit Jalil pada Selasa.

Najib menarik perhatian, kejayaan menyiapkan projek PPA1M Bukit Jalil, projek PPA1M tertinggi di Malaysia dengan bangunan dua blok 41 tingkat itu menepati dasar dan agenda kerajaan demi kesenangan rakyat dan pembangunan negara.

"Alhamdulillah, melalui konsep ini juga, ia dapat menjimatkan duit kerajaan. Harap inisiatif yang sama diteruskan kerajaan pada masa depan," katanya.

Beliau menarik perhatian, sehingga kini, sejumlah 135,456 unit (433 projek) PPA1M daripada 200,000 unit yang disasarkan, telah diluluskan kerajaan untuk dimanfaatkan penjawat awam yang berkelayakan.

"Saya difahamkan, sebanyak 43,993 unit PPA1M (seluruh negara) telah ditawarkan kepada penjawat awam," katanya yang yakin, baki unit PPA1M belum disiap, akan dilaksanakan kerajaan dalam masa berperingkat.

Jelasnya, projek PPA1M ini merupakan pengiktirafan kepada penjawat awam yang menjadi tunjang dan tulang belakang kerajaan yang perlu dihargai dan tidak diabaikan.

"Sebab itulah wujudnya PPA1M. Kita bukan sahaja sediakan rumah murah daripada harga pasaran, malah ia akan menjadi aset peribadi tambahan kepada pemohon yang boleh mengaut untung melalui projek ini.

"Bayangkan rumah PPA1M Bukit Jalil cuma RM150,000 hingga RM300,000 berbanding RM500,000 ke atas mengikut harga pasaran.

"Ini secara tidak langsung membantu kerajaan melakukan penjimatan yang amat besar dan pada masa memberikan manfaat kepada semua penjawat awam," tambah Najib.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. - Bernama 

PPA1M

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain