suria

Vaksin Meningitis Sumber Tanpa Haiwan Pertama Di Dunia

KUALA LUMPUR: AJ Biologics Malaysia (AJB Malaysia), syarikat pengeluaran vaksin tempatan akan menjalin kerjasama dengan Hilleman Laboratories (HL) dan AJ Vaccines (AJV) untuk menghasilkan vaksin meningitis tanpa sumber haiwan yang pertama di dunia.

Ketua Pegawai Operasi AJB Malaysia, Jerome Cabannes berkata ciri tanpa sumber haiwan bagi vaksin  itu berkeupayaan untuk menembusi pasaran halal di negara ini, dan seterusnya di dunia.

“Ini akan membuka peluang bagi negara ini untuk memenuhi keperluan vaksin meningococcal, terutama bagi pasaran halal sedunia dan industri ibadah haji. Kami berhasrat untuk memperkembang vaksin ini di Malaysia, pasaran Timur Tengah dan seluruh dunia,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.

Meningococcal meningitis ialah suatu jenis jangkitan bakteria meningitis yang menyebabkan keradangan selaput otak dan saraf tunjang, dan sekiranya tidak dirawat, berkemungkinan membawa kematian sehingga 50 peratus dan lebih 10 peratus kemungkinan kecacatan parah akibat kepekakan dan gangguan fungsi otak.

Katanya, vaksin baru yang disasar untuk menangani lima jenis golongan bakteria akan memudahkan usaha pencegahan penyakit meningitis bagi orang ramai, terutamanya  para pelancong.

Menurut Jerome melalui kerjasama itu, HL dan AJV akan menyumbang kepada pengetahuan teknologi dan kepakaran yang diperlukan untuk menghasilkan vaksin berkenaan dengan fasa pertamanya membuat penyelidikan klinikal yang bermula pertengahan tahun ini.

“AJB bertujuan untuk mengalihkan proses penghasilan vaksin kepada tapak-tapak pengeluaran, termasuk kilang pengeluaran vaksin pertama itu yang masih dalam proses pembinaan di Bandar Enstek, Negeri Sembilan,” katanya.

HL yang beribu pejabat di India, merupakan syarikat usahasama antara syarikat farmaseutikal Merck & Co (atau MSD di luar Amerika Syarikat dan Kanada) dan Wellcome Trust, iaitu sebuah yaysan amal antarabangsa yang ditubuhkan khas menjaga kesihatan manusia dan haiwan - Bernama

Meningitis

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Hari Lahir Ayah Paling Suram

Artikel Lain