suria

Dera Pembantu Rumah: Suami, Isteri Terlepas Tali Gantung

Gambar fail 2012 ketika Soh dan Chin dihadap ke mahkahamh di Bukit Mertajam.

PUTRAJAYA: Sepasang suami isteri yang disabitkan kesalahan membunuh seorang pembantu  rumah dengan membiarkan mangsa kebuluran, terlepas daripada hukuman mati apabila Mahkamah Persekutuan mengubah sabitan mereka atas tuduhan membunuh dan mensabitkan mereka bagi tuduhan lebih ringan.

Suri rumah, Chin Chui Ling, 45, dan suaminya  Soh Chew Tong, 48, pemilik kedai, masing-masing dihukum 10 tahun penjara  bagi pertuduhan mengikut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan kerana membunuh tanpa niat Mey Sichan.

Pembantu rumah berusia 24 tahun itu hanya mempunyai berat badan 26.1 kg ketika dia ditemukan mati di di rumah kedai pasangan berkenaan di Jalan Bukit Minyak, Bukit Mertajam, Pulau Pinang dengan 29 kesan kecederaan baharu dan lama pada tubuhnya serta mengalami dehidrasi teruk. Pipi dan matanya  juga cengkung.

Panel lima anggota dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif membenarkan rayuan pasangan itu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan mensabitkan dan mengenakan hukuman mati terhadap mereka kerana membunuh setelah memutuskan sabitan kesalahan mereka kerana membunuh adalah tidak selamat.

Beliau berkata sabitan kesalahan mereka kerana malakukan pembunuhan  tanpa niat dengan tujuan menyebabkan kematian pembantu  rumah itu mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan oleh Mahkamah Tinggi juga adalah tidak selamat.

Hakim Md Raus bagaimanapun berkata terdapat keterangan yang mencukupi bagi mensabitkan kesalahan  pasangan itu mengikut Seksyen 304 (b) kerana membunuh tanpa niat bukan dengan tujuan untuk menyebabkan kematian.

"Kami mengambil kira fakta kes ini dan apa sebenarnya yang telah berlaku. Ia suatu kes serius dan melalui  keputusan sebulat suara, kami memerintahkan mereka menjalani hukuman 10 tahun penjara,” katanya.

Beliau berkata hukuman penjara itu perlu mengambil kira jumlah tahun pasangan berkenaan ditahan dan ditempatkan di dalam  penjara.Panel itu juga dianggotai hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Zaharah Ibrahim, Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha dan Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin.

Chin dan Soh, yang memakai pakaian penjara berwarna merah dan putih, kelihatan terkejut apabila mendengar keputusan mahkamah itu. Apabila prosiding berakhir, Chin mengalirkan air mata dan memeluk ibunya serta seorang lagi anggota keluarga sebelum dia dibawa ke lokap.

Soh dan Chin dijatuhi hukuman penjara 24 tahun oleh Mahkamah Tinggi pada 2013 apabila mereka didapati bersalah terhadap tuduhan lebih ringan iaitu membunuh tanpa niat mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan.

Berikutan rayuan dikemukakan pihak pendakwaan pada 2015, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan mensabitkan mereka bagi membunuh serta  mengenakan hukuman mati.

Pasangan itu kemudian mengemukakan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

Menurut pertuduhan, pasangan berkenaan melakukan kesalahan itu di rumah mereka antara 1 Jan dan 1 April 2012.

Semasa prosiding di Mahkamah Rayuan pada Februari 2015, mahkamah dimaklumkan bahawa Mey Sichan tidak diberi makanan sewajarnya dan terpaksa mengutip sisa makanan daripada  tong sampah.

Peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram meminta mahkamah mengenakan hukuman lebih ringan terhadap anak guamnya dengan berkata mereka telah menunjukkan rasa menyesal.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Awang Armadajaya Awang Mahmud meminta mahkamah mengenakan hukuman maksimum 10 tahun  penjara dengan alasan memandangkan kejadian itu berlaku dalam tempoh yang panjang, ia bermakna pembantu rumah berkenaan dilayan dengan kejam dan oleh itu, satu mesej perlu  diberi kepada orang ramai bahawa pembantu  rumah tidak seharusnya diberi layanan buruk.

Sementara itu, di luar mahkamah, peguam Datuk K.Kumarendran, yang turut mewakili pasangan berkenaan berkata anak guamnya telah ditahan selama hampir  tiga tahun dan dengan potongan satu pertiga daripada hukuman, mereka akan hanya menjalani  hukuman penjara selama kira-kira empat tahun setengah.- Bernama

Dera Pembantu Rumah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Yusuf Azmi Tegur Isu Sajat

Artikel Lain