suria

Jakim Makin Hampir Dedah Identiti Sebenar Sajat

PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendedahkan pihaknya kini dalam proses untuk mengesahkan identiti sebenar usahawan kosmetik, Nur Sajat Kamaruzzaman.

Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Sosial, Bahagian Pembangunan Keluarga Sosial dan Komuniti, Jakim, Dr Mohd Izwan Md Yusof berkata, penjelasan itu dibuat bagi menjawab persoalan masyarakat susulan pertemuan bersama Sajat dan ibu bapa usahawan itu.

Beliau menjelaskan, Jakim bersetuju terhadap beberapa proses yang perlu dilalui Sajat untuk pengesahan identitinya secara rasmi.

"Proses ini akan mengambil masa panjang kerana ia melibatkan banyak pihak.

"Dijangkakan dalam tempoh sebulan paling minimum," katanya dalam kenyataan di Facebook lewat petang Jumaat.

Mohd Izwan yang juga pakar dalam menangani lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) Jakim berkata, keputusan tersebut hanya akan diumumkan selepas segala proses itu selesai.

Selain itu katanya, ia juga perlu disahkan oleh sekumpulan panel Pakar Kajian Syariah yang diurusetiakan Jakim.

Dalam pada itu, Mohd Izwan berkata, Jakim menafikan sekeras-kerasnya mengenai dakwaan menerusi sebuah video yang menuduh pihak Jakim menelefon seorang individu dan memaklumkan jantina Sajat.

Selasa lalu, Jakim menemui jalan penyelesaian dalam mendapatkan pengesahan mengenai identiti sebenar Sajat selepas mengadakan pertemuan dengan usahawan kosmetik itu di Wisma Nur Sajat di Shah Alam, Selasa.

Difahamkan, hajat pihak Jakim untuk mengadakan pertemuan dengan Sajat ekoran cemuhan dan kecaman netizen sejak kebelakangan ini berhubung isu identiti Sajat.

Jakim, Sajat

Artikel Berikut

Artikel Lain