suria

Ingatkan Musim Sejuk, Tapi...

PETALING JAYA: Cuaca sejuk di barat Semenanjung Malaysia menyebabkan ramai yang bertanya sama ada musim sejuk akan berlaku.

Pada Khamis, Lembah Klang mengalami cuaca paling sejuk sejak berbulan-bulan, dengan suhu mencecah hingga 22 darjah Celsius.

Di Twitter, rakyat Malaysia menyuarakan mengenai kejutan mereka terhadap cuaca sejuk dan kebanyakan mereka menyukainya.

"Cuaca di Malaysia betul-betul sejuk, jadi saya ulangi - Cuaca di Malaysia sebenarnya sejuk. Ini sebenarnya tidak berlaku sepanjang masa dalam iklim tropika," kata @meseses.

Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang tiba di tanah air dari Arab Saudi memberitahu di Twitter pada pagi Jumaat: "Wah, sangat sejuk di Malaysia hari ini, seperti Jeddah! Alhamdulillah selamat pulang ke tanah air."

Segelintir netizen bagaimanapun mengeluh kerana terpaksa memakai jaket di negara yang sepatutnya mengalami musim tropika.

"Saya terpaksa memakai jaket, berasa bodoh di kawasan tropika," kata @diandujour di Twitter.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bagaimanapun memberitahu, tiada tanda-tanda suhu terus menurun lagi dan fenomena semasa sebenarnya disebabkan oleh monsun timur laut yang memberi kesan kepada pantai timur semenanjung.

"Musim hujan di kawasan itu mendorong angin timur laut dan awan ke barat.

"Sebab itulah kita melihat langit mendung beberapa hari lalu dan suhu tidak meningkat," kata jurucakap MetMalaysia ketika dihubungi.

Beliau menambah, cuaca sejuk dijangka berakhir pada Ahad ini.

"Kita boleh menjangkakan lebih banyak langit cerah selepas Ahad," katanya.

musim sejuk, MetMalaysia

Artikel Sebelum

Artikel Lain