suria

Lima Kena Gantung Sampai Mati

KUALA LUMPUR: Lima tertuduh dijatuhi hukuman gantung sampai mati kerana memukul seorang perompak hingga mati.

Keputusan itu dibuat Mahkamah Tinggi di sini terhadap pengawal keselamatan, M. Yogesvaran, 24, pegawai tentera Mohamad Hairul Abdullah dan Lawrence anak Masing, masing-masing 34, pekerja sendiri Zaidi Zainal , 31, dan penyelia Chong Kai Weng, 31, yang didapati bersalah membunuh Mohd Yusof Abd Khalib, 26.

Kejadian berlaku di luar V-Club Snooker di Taman Intan Baiduri, Sentul di sini pada 8.30 malam, 1 Mei 2016.

Mangsa telah dibawa ke hospital, tetapi meninggal dunia pada hari berikutnya.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Shariff Abu Samah menetapkan pihak pendakwaan telah membuktikan melampaui keraguan munasabah, manakala barisan pembelaan hanya berdasarkan penafian.

Beliau juga mendapati, dakwaan tertuduh menahan mangsa yang dikatakan perompak untuk menyerahkannya kepada polis adalah mengarut.

"Walaupun mangsa mungkin seorang perompak, langkah yang sebaiknya adalah membawanya ke balai polis, bukan menyerangnya seperti harimau yang lapar dan bertindak mengikut undang-undang sendiri," katanya ketika membacakan penghakiman setebal 254 mukasurat itu pada Rabu.

Mohamad Shariff menjatuhi hukuman mati terhadap kelima-lima lelaki itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.

Tertuduh diwakili peguam M.Jagesh, manakala Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Nazneen Zulkifli bertindak sebagai pendakwa.


V-Club Snooker

Artikel Lain