suria

Enjin Lokomotif KTMB Terbakar Dekat Kluang

Foto Bernama

JOHOR BAHRU: Enjin lokomotif kereta api, yang membawa penumpang dari Johor Bahru ke Gemas, terbakar di KM1 Jalan Renggam-Kluang, dekat Kluang, malam Sabtu.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kluang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Akob Sidek berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kebakaran lokomotif 'Megat Terawih 24125'  Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) itu pada 8.21 malam.

"Tiga jentera bersama seorang pegawai dan 11 anggota digegaskan memadam kebakaran. Api dapat dikawal pada 8.54 malam tadi sebelum operasi memadam kebakaran tamat sepenuhnya pada 9.37 malam," katanya semasa dihubungi pada Ahad.

Beliau berkata, kebakaran itu memusnahkan 50 peratus daripada bahagian enjin lokomotif kereta api itu dan punca kebakaran sedang disiasat.

Menurutnya, kebakaran itu tidak menyebabkan kecederaan kepada penumpang dan kakitangan KTMB kerana hanya membabitkan bahagian enjin dan tidak merebak ke bahagian gerabak lain.

"Tindakan pantas diambil dengan memutuskan lokomotif yang sedang terbakar itu dengan gerabak lain di Stesen KTMB Kluang.

"Jarak antara enjin kereta api terbakar dengan gerabak lain yang diduduki penumpang adalah kira-kira 300 meter," katanya.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamad Laham ketika dihubungi pada Ahad turut mengesahkan kejadian itu. - Bernama

lokomotif, KTMB

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain