suria

Remaja Ditahan Bersama Dadah Bernilai RM600,000

Foto Facebook Polis Daerah Rompin.

ROMPIN: Seorang remaja antara  empat lelaki yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam pengedaran dadah yang dianggarkan bernilai lebih RM600,000 di Rompin, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Rompin, DSP Azli Mohd Noor berkata suspek berusia antara 16 hingga 27 tahun itu ditahan sebaik sahaja keluar daripada dua buah kereta di hadapan sebuah pasar mini di Taman Impiana, Kuala Rompin, di sini, pada pukul 8.50 pagi.

Mereka dipercayai berada di situ untuk urusan menjual dadah yang diperoleh dari Kuala Lumpur kepada pembeli dari sekitar daerah ini, tambahnya.

"Pemeriksaan di bahagian tempat duduk belakang kereta Honda City dinaiki suspek menemukan 15 bungkusan plastik berwarna ungu berisi dadah jenis heroin dan satu  sampul surat mengandungi 20 paket aluminium mengandungi 200 biji pil Eramin 5.

"Polis kemudian menggeledah kereta Kia Forte dan menemui beg galas mengandungi ketulan dan serbuk kristal dipercayai syabu yang disimpan di dalam dua sampul surat dalam beg itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin di sini, Jumaat.

Azli berkata polis juga merampas wang tunai RM5,220, beberapa buah telefon bimbit dan dua kenderaan yang digunakan suspek.

Beliau mengesahkan siasatan awal juga mendapati semua suspek termasuk remaja yang tidak lagi bersekolah itu mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.

“Semua suspek berasal dari Selangor dan Kuala Lumpur, dengan dua daripada mereka disahkan positif dadah,” katanya.

Suspek kini ditahan reman selama seminggu bermula semalam dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

dadah

Artikel Berikut

Artikel Lain