suria

Sah! Penganjur Maraton Klang Tiada Lesen

Ang (kanan) cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan semasa menyertai acara maraton di Klang, Ahad lalu.

SHAH ALAM: Polis mengesahkan penganjur acara Maraton Antarabangsa Bandar Klang 2017 pada Ahad lalu, tidak memiliki lesen penganjuran larian itu daripada Pesuruhjaya Sukan (PJS).

Ketua Polis Daerah Klang Selatan,  Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, ia hasil siasatan pihaknya terhadap penganjur, Earth Runners Int. Group Sdn Bhd., susulan laporan yang dibuat oleh Penolong Pesuruhjaya Sukan Malaysia pada hari sama acara itu berlangsung.

Menurutnya, lelaki berkenaan dalam laporan tersebut memberitahu bahawa beliau telah dimaklumkan oleh PJS mengenai satu kemalangan melibatkan tiga peserta acara larian di Batu 2, Jalan Kapar Klang, pada jam 4.30 pagi.

"Susulan  laporan itu, semakan mendapati acara yang dianjurkan oleh syarikat berkenaan, tiada dan gagal memohon lesen daripada Pesuruhjaya Sukan untuk menganjurkan kejohanan tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 36 (1) Akta Pembangunan Sukan 1997.

Acara maraton itu bermula dan berakhir di Kompleks Sukan Pandamaran Klang.  

Dalam kejadian itu,  Evelyn Ang Gek Suan, 44, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan rahang, manakala dua lagi pelari, Ahmad Hadafi Jus, 44, dan Amiruddin Hamid, 37, hanya cedera ringan di bahagian kaki selepas dirempuh oleh sebuah kereta dari arah belakang. - Bernama

maraton

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain