suria

Dua Pelajar Sekolah Ditahan Kerana Dadah

Gambar hiasan.

BUKIT MERTAJAM: Dua pelajar sekolah antara 10 penagih dadah yang ditahan polis dalam tiga serbuan di sekitar Seberang Perai Tengah (SPT), di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah SPT ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata dalam serbuan pertama, polis menahan seorang lelaki berusia 44 tahun di sebuah rumah di Bukit Teh kira-kira pukul 8.30 malam.

"Hasil ujian air kencing mendapati dia positif dadah dan polis turut menjumpai satu bungkusan kecil heroin yang disembunyikan dalam bekas gula-gula bersama lelaki yang mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah itu," katanya di sini pada Ahad.

Katanya dalam serbuan kedua di sebuah gerai makan di Jalan Kampung Bukit Teh, polis menahan enam lelaki berusia 27 hingga 39 tahun dan merampas dadah jenis heroin bersama mereka.

Beliau berkata semasa serbuan pukul 9 malam itu, enam lelaki berkenaan dalam keadaan khayal kerana baharu lepas menghisap dadah di situ dan ujian air kencing mendapati mereka positif heroin.

Nik Ros Azhan berkata pemeriksaan juga mendapati enam lelaki itu mempunyai rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah dan seorang daripada mereka turut dikehendaki berkaitan kes samun.

Sementara itu, katanya dalam serbuan pukul 10 malam di Apartment Permata, polis menahan tiga lelaki termasuk dua pelajar tingkatan tiga dan empat yang sedang asyik menghisap dadah dalam sebuah rumah di situ.

Beliau berkata dua remaja berusia 15 dan 16 tahun itu mengaku terlibat dalam kegiatan menghisap dadah sejak awal tahun ini dan pemeriksaan air kencing tiga mereka termasuk lelaki berusia 30 tahun itu positif syabu.

Polis turut merampas syabu bersama mereka, katanya yang menambah kesemua mereka kini direman dan disiasat mengikut Seksyen 12 (3) dan 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama

dadah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain