Di Sebalik Seni Canting Aliah - Semasa | mStar

Di Sebalik Seni Canting Aliah

KUALA LUMPUR: Suatu masa dulu, perasaan rendah diri menghantui dirinya hingga menyebabkan dia enggan ke sekolah, namun insan istimewa ini tidak pernah patah semangat apabila menyedari dikurniakan bakat seni yang mampu menyara kehidupan diri dan keluarga.

Wanita bersemangat kental yang berasal dari Alor Setar, Kedah itu bagaikan melihat cahaya di hujung jalan apabila berpeluang menuntut ilmu buat kali pertama pada usia 16 tahun di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) di Bangi, Selangor.

“Saya hanya sempat ke tadika selama setahun, semuanya kerana malu dengan keadaan diri dan sering diejek oleh kanak-kanak sebaya.

“Tapi, selepas saya beranikan diri untuk mencari ilmu dan mengasah bakat di PLPP, saya seperti menemui keyakinan semula apabila dapat bersama-sama dengan kawan senasib yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU),” kata Aliah Talib ketika ditemui di Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini pada Rabu.

Wanita berusia 30 yang kudung kedua tangannya sejak dilahirkan ini berkata, kenangan yang tidak boleh dilupakannya apabila dapat menghasilkan lukisan buat tokoh pemimpin negara, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang juga perdana menteri kelima pada ketika itu.

“Saya masih ingat ketika beliau mengucapkan tahniah dan memberikan kata-kata semangat agar saya terus menggilap bakat yang ada," katanya.

Ditanya mengenai impiannya, jawab Aliah: "Saya berazam memiliki galeri seni sendiri."

Kini, wanita ini lebih kerap menghasilkan seni cantingan batik kerana mendapat permintaan yang tinggi daripada penggemar hasil karya sedemikian.

Sambil ditemani abang dan ibunya ke PAU 2017, Aliah turut membuat demonstrasi langsung mencanting batik di hadapan pengunjung perhimpunan tersebut.

Tambahnya, dia yang bernaung di bawah Artis Pelukis Mulut dan Kaki Malaysia bersyukur kerana ibunya tidak pernah berputus asa untuk menyokong kerjayanya sebagai seorang pelukis sepenuh masa.

Aliah Talib , PAU

Artikel Sebelum

Tokan Dadah Menyamar Polis?

Artikel Berkaitan

PAU Kecoh Janna Nick Muncul

Artikel Lain