suria

Ahli Parlimen Jelebu Meninggal Dunia

Allahyarham Zainudin Ismail.

SEREMBAN: Anggota Parlimen Jelebu, Datuk Zainudin Ismail, 57, meninggal dunia di kediamannya di Villa Puteri Condo di Kuala Lumpur, pada jam 7.30 malam Rabu.

Perkara itu disahkan Ketua Penerangan Umno Negeri Sembilan, yang juga Ketua Umno Bahagian Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias.

“Arwah meninggal dunia akibat sakitnya sebelum ini iaitu ketumbuhan dalam kepalanya yang sebelum ini telah pun dibuang pada tahun lepas,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Jalaluddin, yang dalam perjalanan ke kediaman arwah, berkata Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan empat orang anak.

Jenazah Allahyarham dijangka di bawa balik ke Taman Angsana, Jelebu dan akan dikebumikan esok pagi di Kampung Petaseh, Kuala Klawang.

Zainudin pada 13 Mei tahun lepas telah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di dalam kepalanya di Hospital Kuala Lumpur (HKL). 

Beliau sebelum itu di hantar ke Hospital Jelebu apabila tidak sedarkan diri, jam 12 tengah hari, hari yang sama.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), Zainudin menang dengan majoriti 7,101 undi menewaskan Raj MunniI Sabu daripada PAS. - Bernama

Zainudin Ismail, Jelebu

Artikel Sebelum

PAU2017 Bermula Hari Ini

Artikel Berikut

Artikel Lain