suria

Macam Nama Orang Vietnam

PORT DICKSON: Mengambil kira nama tempat dan hari dilahirkan memberi idea seorang bapa menamakan anak perempuannya yang baru dilahirkan kepada Inchum, kira-kira 62 tahun lalu.

Inchum Mohd Yunus yang berasal dari Kampung Bukit Tembok, di sini, mempunyai kisah tersendiri sehingga mendapat nama yang unik dan pasti jarang digunakan dalam masyarakat Melayu.

Menurutnya, nama itu diberikan Allahyarham bapanya dengan menggabungkan hari dia dilahirkan, Isnin dan nama tempat kelahirannya di Chembong, Rembau.

“Masa saya dilahirkan, kami sekeluarga menetap di Chembong kerana arwah ayah sedang berkursus dengan Jabatan Pertanian di situ selama dua tahun.

“1 Januari 1955 hari Isnin, saya lahir. Untuk kenangan pernah menetap di Chembong, arwah ayah dedikasikannya pada nama saya. 'In' pada pangkal nama bersempena saya dilahirkan, 'Chum' adalah singkatan kepada 'Chem' atau Chembong. Maka jadilah nama Inchum," katanya.

Anak keempat daripada 13 beradik itu berkata, sejak kecil dia menyedari namanya unik berbanding adik-beradik yang lain.

“Abang kakak dan adik-adik saya kebanyakan diberi nama mengikut nama nabi seperti Ibrahim, Ishak, Sulaiman dan Yahya. Yang perempuan pula nama-nama seperti Ani dan Kartina.

“Nama Inchum walaupun sehingga kini saya tidak tahu apa maksudnya, tapi saya yakin membawa maksud yang baik.

“Masa urusan hendak ke Makkah pun mudah. Orang kata kalau nak ke sana dan nama kita bawa maksud tak elok, kena tukar. Tapi urusan saya mudah, jadi saya yakin nama ini mempunyai maksud yang baik,” katanya.

Hanya seorang nama Inchum

Oleh kerana nama unik itu jugalah, Inchum mengakui kebanyakan urusan yang dilaksanakannya dipermudahkan.

“Sebut sahaja Inchum, semua orang di sini akan kenal. Nak cari nama saya dalam sistem komputer pun mudah. Ada satu hari tu, saya nak bayar bil utiliti, tapi kertas bil tertinggal di rumah.

“Petugas di kaunter kata susah kalau berurusan tanpa kertas bil kerana dia mahu menyemak nombor akaun. Tapi saya suruh taip nama 'Inchum' terus keluar nama saya di komputer petugas tadi. Di skrin komputer tu ada satu sahaja nama Inchum," katanya sambil ketawa mengenangkan insiden berkenaan.

Inchum (kanan berdiri) bersama penduduk Kampung Bukit Tembok dalam satu aktiviti kampung.

Inchum yang baru sahaja kematian suami beberapa bulan lalu berkata, keluarganya berasal dari Kampung Bukit Tembok dan tidak menyangka ketika dewasa jodohnya adalah dengan orang Rembau.

“Tak sangka, jodoh dengan orang Rembau dan nama saya pun dedikasi dari Chembong, Rembau,” katanya.

Selain bergelar suri rumah, katanya, dia juga aktif dengan politik, berpersatuan dan kerap melibatkan diri dengan aktiviti kemasyarakatan.

“Sejak usia muda sehinggalah ketika usia lebih separuh abad ini, saya masih lagi aktif dengan aktiviti-aktiviti tersebut.

“Ia telah menjadi darah daging, malah banyak ilmu yang dipelajarinya daripada setiap aktiviti yang diikuti dan saya diaplikasikannya semasa saya menggerakkan komuniti kampung pula,” katanya.

“Saya rajin menyertai kursus-kursus kemahiran anjuran pelbagai pihak. Boleh kata seluruh negara saya dah berjalan sebab hadiri kursus.

“Sepanjang kursus itulah, jumpa dengan ramai kawan baru. Mereka pelik dengar nama saya, tapi nak menyebut nama saya taklah susah, tak berbelit lidah. Mudah saja untuk kawan-kawan baru nak ingat.

“Tapi ada juga orang kata, nama Inchum ni macam nama orang Vietnam pula” katanya. - Sinar Online

Inchum, Vietnam

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Dua Beradik Maut

Artikel Lain