suria

Bayi Tiga Bulan, Ibu Bapa Maut Kereta Terbabas Dalam Parit

SITIAWAN: Seorang bayi lelaki berusia tiga bulan antara tiga sekeluarga yang maut dalam kemalangan jalan raya di Kampung Kayan, di sini awal pagi Ahad.

Dalam kejadian kira-kira 4.20 pagi itu, mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian ialah Sairulazuwan  Nadzim, 37, isterinya Azilina Abdul Aziz, 37, serta anak pasangan tersebut Muhamad Daris Iffat.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira pukul 5 pagi tadi.

Katanya siasatan awal mendapati sebelum kemalangan, kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Wish yang dipandu Sairulazuwan sedang dalam perjalanan dari Batu 9, Lekir menghala ke Teluk Intan.

"Apabila sampai di tempat kejadian, dipercayai pemandu cuba mengelak pembahagi jalan jenis plastik sebelum kenderaan itu terbabas lalu terhumban ke dalam parit berair sedalam 2.5 meter di sebelah kanan jalan," katanya ketika dihubungi.

Muhammad Hanif berkata semua mayat dihantar ke unit forensik Hospital Seri Manjung untuk dibedah siasat.-- Bernama 

Kampung Kayan

Artikel Lain