Wanita Dipenjara Kerana Sokong Kumpulan Pengganas - Semasa | mStar

Wanita Dipenjara Kerana Sokong Kumpulan Pengganas

KUALA LUMPUR: Seorang penolong jurutera di sebuah kilang dihukum penjara lapan tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini kerana memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daesh menggunakan aplikasi media sosial.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak menjatuhi hukuman itu terhadap Irma Julyanti Buang, 32, yang menukar pengakuannya kepada bersalah hari ini dan memerintahkan wanita itu menjalani hukuman penjara bermula tarikh tangkap pada 20 April lepas.

Mohd Sofian ketika membuat keputusan itu berkata kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius yang mengancam ketenteraman dan keselamatan negara.

“Tertuduh secara terang-terangan menyatakan sokongan dan simpati terhadap Daesh dan sebagai golongan terpelajar, tertuduh sepatutnya tahu keganasan kumpulan Daesh di Timur Tengah sedang memuncak dan kegiatan kumpulan itu juga telah dilaporkan oleh media.

“Mahkamah juga tidak faham mengapa tertuduh boleh terpengaruh dengan ideologi kumpulan Daesh dan sanggup memberi sokongan terhadap kumpulan itu,” kata Mohd Sofian yang turut menasihati tertuduh supaya menggunakan masa terluang di dalam penjara untuk belajar bagi mencapai hasratnya menyambung pengajian di peringkat ijazah.

Irma Julyanti didakwa dengan pengetahuan telah memberi sokongan kepada kumpulan pengganas menggunakan aplikasi media sosial, Google+ atas nama Celestica-Irma Julyanti Binti Buang miliknya di bilik kejuruteraan di Kilang Celestica  (AMS), Jalan Seelong, Johor Bahru, Johor pada Januari 2016 hingga 20 April 2017.

Ibu kepada seorang anak itu didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat digunakan untuk melakukan kesalahan itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurfaida Mohd Rashidee memohon hukuman berat bagi memberi pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh tetapi juga masyarakat berikutan peningkatan kes berkaitan keganasan kumpulan Daesh yang makin berleluasa di Timur Tengah.

Ketika rayuan bagi meringankan hukuman, Irma Julyanti yang tidak diwakili peguam berkata dia telah insaf dan berjanji tidak akan melakukan kesalahan sama serta berhasrat menyambung pengajian di peringkat ijazah dalam bidang kejuruteraan bagi meningkatkan pendapatan untuk membantu keluarga.

“Sebelum ditahan polis, saya bekerja sebagai penolong jurutera berpendapatan RM2,300 sebulan dan merupakan penanggung tunggal keluarga selain turut menyara ibu bapa serta nenek yang menghidap strok,” katanya.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditangkap berikutan terdapat maklumat daripada seorang pegawai keselamatan Kilang Celestica yang memaklumkan kepada bahawa pihak keselamatan Kilang Celestica di Kanada telah mengesan salah laku penggunaan aplikasi melalui Google+ atas nama Celestica-Irma Julyanti Binti Buang, yang memuat naik banyak artikel dan gambar berkaitan perang di Timur Tengah dan kumpulan Daesh.

Siasatan juga mendapati aplikasi media sosial Google+ telah didaftarkan menggunakan alamat emel ibuang@celestica.comyang dibekalkan oleh pihak kilang Celestica kepada tertuduh.-- Bernama


Irma Julyanti

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Suruh Keluar, Mana Saya Nak Pergi?

Artikel Lain