suria

Generasi Muda Diisytihar Muflis Susut

KUALA LUMPUR: Bilangan generasi muda berumur kurang daripada 30 tahun yang diisytiharkan muflis bagi tempoh Januari hingga September 2017 disebabkan oleh hutang kad kredit, menyusut kepada sembilan orang, berbanding 22 orang pada tahun lepas.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz berkata, antara punca utama kemuflisan di,kalangan generasi muda ialah pengunaan kad kredit melebihi kemampuan masing-masing.

“Daripada 2014 sehingga 2016, purata statistik generasi muda yang diisytiharkan muflis hanyalah 1.1 peratus. Majoriti daripada individu yang muflis akibat hutang kad kredit adalah berumur lebih daripada 30 tahun,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Isnin.

Beliau menjawab soalan Datuk Sapawi Ahmad Wasali (BN-Sipitang) yang minta Menteri Kewangan menyatakan jumlah kes kebankrapan di kalangan generasi muda berkaitan penggunaan kad kredit dan langkah-langkah kerajaan untuk membendungnya.

Katanya, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengambil pelbagai langkah bagi memastikan hanya pengguna yang layak dan berkemampuan sahaja diberikan kemudahan kad kredit bagi mengawal tahap keterhutangan pemegang kad kredit.

Beliau berkata, langkah itu termasuk memperketatkan syarat pengeluaran kad kredit seperti menaikkan pendapatan minimum pemegang kad kredit daripada RM18,000 kepada RM24,000 setahun.

Bagi pemegang kad kredit yang berpendapatan RM36,000 setahun atau kurang pula, Othman berkata, mereka hanya boleh memiliki kad kredit daripada dua pengeluar kad sahaja dan mempunyai had maksimum kredit tidak melebihi dua kali ganda pendapatan bulanan pemegang kad bagi setiap pengeluar.

BNM juga telah mengeluarkan Garis Panduan Amalan Pembiayaan yang Bertanggungjawab agar institusi kewangan memastikan pinjaman yang diberi adalah berdasarkan kemampuan individu untuk membayar balik pinjaman tanpa dibelenggu bebanan hutang yang melampau sepanjang tempoh pinjaman.

“Pengeluar kad kredit perlu mengambil kira potongan berkanun (KWSP dan PCB) dan obligasi pembayaran balik hutang semasa sebelum meluluskan permohonan kad kredit.

“Ini akan memastikan peminjam mempunyai penampan kewangan yang mencukupi untuk perbelanjaan sara hidup dan dapat melindungi diri daripada kenaikan kos dan komitmen kewangan yang tidak dijangka,” katanya.

Beliau menasihati orang ramai supaya tidak menggunakan kad kredit sebagai sumber untuk mendapatkan pinjaman atau kredit secara mudah di samping menggalakkan mereka menggunakan instrumen pembayaran altenatif seperti kad debit, di mana penggunaan kad adalah tertakluk kepada baki akaun mereka.

“BNM juga telah menubuhkan Jaringan Pendidikan Kewangan pada November 2016 untuk menyelaras dan memacu strategi pendidikan kewangan pada peringkat kebangsaan,” katanya. - BERNAMA

muflis, kad kredit

Artikel Sebelum

Artikel Lain