suria

Tidak Timbul Pemerdagangan Manusia - Mustafar

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali

PETALING JAYA: Isu pemerdagangan manusia tidak timbul dalam pengambilan pembantu rumah asing secara langsung kerana ia melibatkan majikan yang menawarkan mereka sebagai pekerja tanpa melalui ejen.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, sebagai pilihan, majikan yang mahu mencari sendiri pembantu rumah akan mendapat maklumat mengenai prospek daripada kenalan atau saudara mereka.

“Permerdagangan manusia adalah melibatkan orang yang tidak sukarela dan secara paksaan, tetapi pembantu rumah ini sukarela dan sanggup bekerja dengan majikan serta menawarkan diri sebagai pembantu rumah asing yang berpotensi.

"Dalam permohonan bagi pengambilan pembantu rumah, majikan sendiri yang perlu bertanggungjawab dan bukannya orang lain atau ejen," kata Mustafar kepada mStar Online.

Pada Selasa, sebuah portal berita melaporkan Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Malaysia (Pikap) berkata, adalah mustahil untuk majikan mengambil pembantu rumah asing secara langsung dari negara sumber tanpa bantuan ejen.

Presidennya, Datuk Raja Zulkepley Dahalan dipetik sebagai berkata, beliau bimbang agensi haram akan mengambil kesempatan daripada dasar baharu itu dan seterusnya menyebabkan peningkatan dalam aktiviti pemerdagangan manusia.

Dalam pada itu, Mustafar berkata, sebagai jaminan, kedua-dua majikan dan pembantu rumah perlu menandatangani kontrak yang terkandung semasa proses permohonan.

Beliau menambah, kontrak tersebut antara yang terkandung dalam peringkat permohonan dan memuat naik dokumen, di dalam sembilan prosedur bagi pengambilan pembantu rumah asing secara dalam talian.

"Bila majikan sendiri yang mendapatkan pembantu rumah ini, maka kebertanggungjawaban adalah pada mereka, dan akan memastikan bayaran gaji dibuat dengan teratur, termasuk menyediakan tempat tinggal yang selesa," katanya.

Sebagai jaminan kepada prospek pembantu rumah asing, Mustafar berkata, majikan juga akan dikenakan wang cagaran semasa permohonan.

"Bagaimanapun, kadar wang cagaran ini masih belum dimuktamakan lagi. Ia akan dimaklumkan kemudian," katanya.

Sementara itu, Mustafar berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan wakil kedutaan negara-negara sumber, termasuk Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (Papa) dan Persatuan Majikan Amah Malaysia (Mama) mengenai pendekatan baharu tersebut.

Mustafar menunjukkan prosedur pengambilan pembantu rumah asing secara dalam talian. Foto Rohaizat Md Darus/The Star.

Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2018 mengumumkan kerajaan kini memberi pilihan kepada majikan untuk mengambil pembantu rumah asing secara langsung dari sembilan negara sumber tanpa melalui ejen.

Sembilan negara tersebut adalah Indonesia, Filipina, Vietnam, Thailand, Sri Lanka, Nepal, Kemboja, Laos dan India.

Selain dari negara sumber, syarat kelayakan bakal pembantu rumah asing mestilah perempuan berumur antara 21 tahun dan 45 tahun, bebas daripada senarai syak dan senarai hitam Jabatan Imigresen, tidak memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang aktif dengan majikan lain.

Dalam pada itu, Mustafar menegaskan bahawa majikan perlu mengenal pasti dahulu prospek pembantu rumah asing yang berkelayakan dari negara sumber, sama ada di Malaysia atau negara asal mereka, sebelum membuat permohonan menerusi sistem dalam talian yang akan berkuat kuasa pada 1 Januari tahun depan.

Menurut Mustafar, permohonan yang dibuat secara terus tanpa melalui ejen atau orang tengah itu mengambil tempoh antara tujuh hingga 16 hari.

Sembilan prosedur pengambilan pembantu rumah asing secara dalam talian terdiri daripada pendaftaran dalam talian oleh majikan, log masuk dan pendaftaran pembantu rumah asing, saringan kesihatan daripada Agensi Pemantauan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema), permohonan dan memuat naik dokumen, semakan dokumen, kelulusan, notifikasi keputusan, bayaran permohonan dan cetakan PLKS.

Imigresen, Papa, Mama

Artikel Sebelum

'Datuk Seri' Pukul Rela Didakwa

Artikel Berikut

Artikel Lain