suria

Enam Pemancing, Tekong Bot Dikhuatiri Hilang

Gambar hiasan.

YAN: Enam pemancing bersama seorang tekong bot dikhuatiri hilang selepas bot mereka hanyut di perairan barat laut Pulau Bunting, Yan pagi Isnin.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Pangkalan Kuala Kedah, Leftenan Maritim Hairil Izhar Nor Azmi berkata setakat ini pihaknya telah mengenal pasti identiti dua mangsa.

Mereka ialah tekong bot Kharulanuar Arsad, 39, dan Mohamad Ramli, 57, yang berasal dari Kulim.

Beliau berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang waris mangsa yang menghubungi Bilik Operasi APMM pukul 5.50 pagi Isnin.

"Bot berkenaan dilapor keluar dari Jeti Kuala Sala pada pukul 6 pagi dan sepatutnya tiba semula di jeti pada pukul 7 malam tadi. Operasi mencari dan menyelamat telah diaktifkan pada pukul 9.43 pagi tadi selepas menerima laporan polis," katanya.

Hairil Izhar berkata operasi mencari dan menyelamat telah ditangguhkan pada pukul 7 malam Isnin dan akan disambung semula pukul 7 pagi Selasa.

Sementara itu isteri Kharulanuar, Zuroltulain Ishak, 33, berkata dia mengetahui kejadian tersebut selepas rakan suaminya datang meminta salinan kad pengenalan daripada ibu mentuanya.

"Saya tiada di rumah waktu itu. Selepas dimaklumkan saya cuba menghubungi suami saya tetapi telah disambungkan ke peti simpanan suara.

"Pada mulanya saya tidak bimbang kerana menyangka telefon bimbit suami telah kehabisan bateri tetapi sehingga pukul 10 malam tadi, dia masih belum pulang dan menyebabkan saya mula risau," katanya.

Zuroltulain berkata dia berharap suaminya bersama yang lain selamat dan dalam keadaan baik dan segera ditemukan. - BERNAMA

pemancing, bot

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain