suria

Sekelip Mata Perkenal 'GrabCar Plus', Ini Jawab Grab

PETALING JAYA: Media sosial kecoh apabila Grab memperkenalkan perkhidmatan terbaharunya untuk keselesaan pengguna dengan menawarkan kereta lebih berkualiti tetapi dengan kadar tambang yang masih berpatutan.

Timbul tanda tanya apabila perkhidmatan ini muncul hanya sehari selepas seorang pengguna Grab yang kisahnya tular kerana mengeluh tidak selesa dengan kereta tempatan yang menghantarnya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) minggu lalu membuat permohonan maaf di atas rungutannya itu pada Sabtu.

Artikel berkaitan: “Saya Mohon Maaf Kepada Pemandu Grab, Pemilik Saga”

Pengenalan perkhidmatan yang dikenali sebagai GrabCar Plus itu kononnya dibuat selepas pengadu terbabit, Ariff Shah memberikan hujah panjang lebarnya di blog sebagai cadangan untuk menambah baik perkhidmatan 'e-hailing' itu mengikut kehendak dan keselesaan pelanggan.

"Seorang penumpang yang ramai pengikut buat aduan... laju je Grab buat pembaharuan... hampir sekelip mata," kata seorang netizen.

"Tengoklah 'rider is king' (penumpang adalah raja). Ariff Shah tular je, Grab segera lancar GrabCar Plus, pemandu mengadu tambang rendah, Grab buat tak tahu je," dakwa seorang lagi netizen.

Malah Ariff sendiri menulis di Twitter mengenai perkara itu: "Sekelip mata. Tidak menuntut apa-apa untuk idea ini tetapi hanya dengan 1,000 'shares' (kongsi).

Bercakap kepada mStar Online, Ketua GrabCar dan GrabTaxi Lembah Klang, Wan Khye Theng mengakui perkhidmatan GrabCar Plus itu baru diperkenalkan di Lembah Klang dan Johor Bahru tetapi masih di peringkat percubaan untuk pengguna terpilih.

Katanya, syarikatnya secara konsisten menambah baik perkhidmatan untuk memberi manfaat kepada pemandu dan penumpang dengan mengambil kira maklum balas dan cadangan daripada kedua-dua pihak.

Penjelasan Grab itu sekali gus menolak dakwaan netizen bahawa ciri baharu GrabCar Plus hanya diperkenalkan selepas aduan dan cadangan Ariff.

Tambah Khye Theng, kajian telah dilakukan dari segi kesan ekonomi, impak, penawaran dan permintaan bagi mengimbangi penambahbaikan dan implikasi ciri baharu itu yang mungkin menjejaskan kedua-dua kumpulan tersebut.

"Kami juga mempelajari pasaran lain bagi memahami apa yang boleh dan tidak dilakukan, dan bagaimana kami boleh melakukan sesuatu untuk keperluan pasaran tempatan.

"Oleh itu, idea GrabCar Plus bukanlah sesuatu yang baharu kepada Grab kerana perkhidmatan sepertinya telah diperkenalkan Grab di negara-negara lain.

"Secara kebetulan percubaan itu dilaksanakan ketika ini melibatkan pengguna terpilih," katanya dalam satu kenyataan kepada portal berita ini sambil menambah pengguna dipilih secara rawak berdasarkan penggunaan khidmat Grab.

Wan Khye Theng

Tambang tempahan GrabCar Plus adalah sehingga 20 peratus lebih tinggi berbanding GrabCar Ekonomi, yang mana pemandu bagi perkhidmatan baharu ini dibayar dengan sewajarnya bagi penggunaan kereta dan servis mereka.

Antara syarat pemandu yang dipilih bagi ciri baharu ini adalah memiliki kereta model premium B ke atas yang berusia tidak lebih tujuh tahun.

Dalam pada itu, Grab berterima kasih kepada Ariff di atas cadangannya yang menggambarkan analisis awal syarikat berhubung pendekatan baharu itu.

Mengenai pelaksanaan GrabCar Plus secara menyeluruh, Khye Theng berkata, ia akan mendapatkan maklum balas daripada pemandu dan penumpang sepanjang tempoh percubaan terlebih dahulu.

GrabCar, GrabCar Plus, Wan Khye Theng

Artikel Sebelum

Berani Langgar Kereta Polis!

Artikel Berikut

Artikel Lain