suria

Anak Dipenjara, Ugut Tikam Ibu

KUALA LUMPUR: Perbuatan biadap seorang anak yang mengugut untuk menikam ibunya sendiri selepas tidak mendapat wang tunai RM1,000 seperti dipintanya, menerima balasan apabila dia dipenjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret Ampang di sini Selasa.

Majistret Haslinda A. Raof menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Zahid Mohd Rashid, 28, seorang bekas penyelia, selepas tertuduh mengaku bersalah  telah menakutkan secara sengaja kepada Rashidah Abdullah @ Ellis Anak Rengok, 55, seorang suri rumah, dengan niat hendak mendatangkan ketakutan di ruang tamu rumah mangsa di Kampung Dato Mufti Shuib, di sini pada 3.15 petang, 19 Ogos lepas.

Tertuduh yang merupakan seorang duda anak satu didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes tertuduh telah pergi ke dapur dan bertanyakan ibunya adakah wanita itu telah selesai menggoreng ikan namun mangsa mengatakan belum.

Tertuduh yang berang telah memarahi mangsa dan menyepak kerusi yang berada berhampiran dan meminta wang RM1,000 daripada mangsa sebagai syarat untuk dia keluar daripada rumah mangsa.

Mangsa memberitahu dia tidak mempunyai wang sebanyak itu menyebabkan tertuduh naik berang dan mengugut untuk menikam ibu dan anggota keluarganya yang lain.

Mangsa yang ketakutan kemudian telah membuat laporan polis.

Ketika rayuan tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan dia mempunyai seorang anak berusia tujuh tahun dan telah digantung kerja selama setahun.

Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abdul Razak memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat mengambil kira perbuatan tertuduh yang tidak wajar kerana sanggup mengugut ibunya sendiri selain apa-apa perselisihan faham sepatutnya diselesaikan dengan cara baik bukannya mengambil tindakan di tangan sendiri. - BERNAMA

ugut ibu, suri rumah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain