suria

'Gadis Belon' Diperintah Bela Diri

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi memerintahkan seorang penari untuk membela diri atas pertuduhan berkelakuan menghina dengan melepaskan belon pada majlis yang dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor pada Ogos 2015.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak membuat keputusan itu terhadap Bilqis Hijjas, 37, selaku responden selepas  pihak pendakwaan selaku perayu berjaya membuktikan kes prima facie dalam kes tersebut.

"Mahkamah juga berpendapat bahawa Mahkamah Majistret telah terkhilaf ketika membuat keputusan," kata Mohd Sofian dalam penghakimannya pada prosiding rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Majistret pada Julai 2016.

Pada 1 Julai 2016, Mahkamah Majistret telah membebaskan Bilqis tanpa memanggilnya membela diri terhadap pertuduhan berkelakuan menghina dengan melepaskan belon pada majlis yang dihadiri perdana menteri dan isteri pada Ogos 2015 selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Pada 23 September 2016, Bilqis yang juga dikenali sebagai 'Gadis Belon' selepas insiden itudidakwa melakukan kesalahan membaling belon-belon dari Aras 5, pusat beli-belah Pavilion di Jalan Bukit Bintang di sini pada 3.15 petang 31 Ogos 2015.

Anak perempuan arkitek terkenal tanah air Hijjas Kasturi itu didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang boleh dikenakan denda maksimum RM100 jika  sabit kesalahan.

Dalam perbicaraan yang bermula pada 24 Februari 2016 dan berakhir 2 Jun 2016, sebanyak lapan orang saksi pendakwaan telah dipanggil.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nabilah Ahmad Po'ad manakala peguam Eric Paulsen mewakili Bilqis yang kelihatan tenang menerima keputusan itu.

Pada Hari Kebangsaan 31 Ogos 2015, tujuh belon kuning dilepaskan dari tingkat lima di pusat beli-belah itu sewaktu Najib dan Rosmah menonton persembahan tarian pembukaan acara DiverseCity 2015: Festival Kesenian Antarabangsa Kuala Lumpur.

Belon-belon kuning yang dilepaskan itu antaranya tertera perkataan 'Democracy', 'Free media' dan 'Justice' berwarna hitam telah jatuh ke belakang skrin di aras dua.
Bilqis Hijjas

Artikel Sebelum

Bingit Punca Tikam Rakan

Artikel Berikut

Artikel Lain