MH17: Malaysia Sertai MoU Empat Negara Dakwa Pelaku - Semasa | mStar

MH17: Malaysia Sertai MoU Empat Negara Dakwa Pelaku

Bapa waris mangsa dari Australia meletakkan bunga di atas bangkai pesawat MH17 yang dirakamkan pada 26 Julai 2014. - AFP

PUTRAJAYA: Malaysia telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan empat negara lain bagi memperakukan iltizam bersama untuk mencari keadilan dan kebertanggungjawapan dengan memastikan pelaku dipertanggungjawabkan bagi penembakan pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH17 pada 14 Julai, 2014.

Selain Malaysia, Ukraine, Belgium, Australia dan Belanda juga memeterai MoU mengenai Sokongan Politik untuk Mendakwa Pelaku Penembakan MH17.

MoU itu ditandatangani di Kediaman Rasmi Wakil Tetap Belanda ke Pertubuhan Bangsa Bersatu di New York.

Wisma Putra dalam satu kenyataan pada Khamis berkata MoU tersebut ditandatangani pada Rabu di sela Perhimpunan Agung ke-72 Pertubuhan Bangsa Bersatu yang berlangsung sekarang.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman menandatangani MoU itu bagi pihak kerajaan Malaysia bersama rakan sejawatannya dari Australia, Belgium, Ukraine dan Belanda.

Kelima-lima negara itu telah menubuhkan Pasukan Siasatan Bersama (JIT) untuk menyelaraskan siasatan jenayah mengenai insiden penembakan pesawat MH17.

Bangkai pesawat MH17 yang dihimpunkan semula dipamerkan di Gilze Rijen, Belanda.

"(Negara-negara) memperakukan iltizam bersama untuk menegakkan keadilan dan kebertanggungjawapan dengan memastikan pelaku insiden adalah dipertanggungjawabkan seperti dituntut di bawah Resolusi 2166 Majlis Keselamatan PBB.

"Negara-negara JIT bersetuju untuk mendakwa pelaku penembakan penerbangan MH17 dan mengesahkan bahawa mereka akan membantu satu sama lain sekirangnya mana-mana daripada mereka menghadapi sebarang tekanan luar untuk menjejaskan pendakwaan atau kerjasama di kalangan mereka,” kata Wisma Putra.

Wisma Putra berkata Malaysia tidak berganjak dalam komitmennya untuk mendakwa pelaku penembakan MH17 dan mendapatkan keadilan bagi semua mangsa, ahli keluarga mereka dan orang tersayang.

"Malaysia berpuas hati dengan siasatan JIT diketuai Belanda setakat ini dan yakin bahawa pendakwaan negara di bawah  undang-undang Belanda adalah pilihan paling wajar untuk membawa pelaku insiden itu ke muka  pengadilan," kata kenyataan itu.

Wisma Putra berkata Malaysia juga berharap langkah pertama ini ke arah mendakwa pelaku insiden akan  memberi sedikit kelegaan dan harapan kepada keluarga dan waris mangsa yang kehilangan orang tersayang dalam tragedi itu.

Pesawat Boeing B777, yang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, ditembak jatuh di ruang udara Donetsk di timur Ukraine, pada 14 Julai, 2014, mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal yang berada dalam pesawat malang itu. - Bernama

Artikel Sebelum

Bangunan Baharu DQI Selesa, Selamat

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

WKB 2030 fokus 9 kumpulan terpinggir, ketahui siapa mereka

PENGURUSAN polariti dalam WKB 2030 mengenal pasti sembilan kumpulan sasaran sebagai golongan terpinggir.

default image

WKB 2030: Ke arah masa depan rakyat dan negara yang lebih cerah

WAWASAN ini menjamin kemakmuran dan kekayaan akan dinikmati bersama tanpa mengabaikan tanggungjawab membela masyarakat bandar dan desa yang berpendapatan rendah serta miskin.

default image

Ketahui 8 petunjuk bagi memantau manfaat WKB 2030 dikongsi rakyat

INDIKASI sosial sedang dibina bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memenuhi sasaran dan memberi manfaat kepada semua.

default image

15 prinsip tulang belakang untuk capai matlamat WKB2030

LIMA belas prinsip panduan digariskan berasaskan tiga aspek penting iaitu pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta negara bersatu, makmur dan bermaruah.

default image

Penerima sulung Anugerah Ikon Pesara sebak imbau saat bersama kanak-kanak disleksia – “Persaraan berbaloi... ada jadi pilot, arkitek dan peguam”

KARNIVAL Rasa Sayang (KRS) 2019 anjuran KWAP membuka mata bakal pesara dan pesara untuk bergiat aktif selepas persaraan.

Artikel Lain