suria

Pasukan Khas Ditubuh Siasat Bocor Maklumat Kes Tahfiz

Lokasi kejadian kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur yang mengorbankan 23 nyawa. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur diarahkan untuk menubuhkan pasukan khas siasatan berhubung kebocoran maklumat kes tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, beliau telah memberitahu Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh mengenai penubuhan itu susulan kebocoran maklumat siasatan pada Sabtu lalu.

"Ini adalah perkara serius dan ia bukan pertama kali perkara seperti ini berlaku.

"Kita melakukan siasatan secara dalaman dan ia adalah kes jenayah," katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini, Isnin.

Polis telah mengambil keterangan daripada 13 anggotanya bagi membantu siasatan berhubung kebocoran maklumat mengenai penahanan suspek.

Bagaimanapun, Mohamad Fuzi memberi amaran bahawa lebih ramai akan dipanggil untuk disoal siasat, termasuk individu-individu selain dari pasukan keselamatan itu yang mungkin turut terlibat. 

Beliau berkata, siasatan di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan kerana mendedahkan maklumat dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Penubuhan pasukan khas siasatan itu susulan butiran kes dan gambar suspek yang terlibat dalam tragedi kebakaran itu tersebar di media sosial.

Darul Quran Ittifaqiyah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain