suria

“Tiada Siapa Boleh Terlepas”

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bertanyakan sesuatu kepada Pengetua Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Mohd Zahid Mahmod (kanan) ketika meninjau bangunan asrama yang terbakar mengorbankan 24 mangsa di Jalan Keramat, Jumaat. -fotoBERNAMA

BAGAN DATUK: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan tidak ada pihak yang akan terlepas sekiranya wujud perbuatan jenayah dalam tragedi kebakaran yang berlaku di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah baru-baru ini.

Tegas beliau sekiranya wujud unsur khianat dalam kejadian itu, tindakan tegas akan menanti pesalah.

Jelasnya lagi ketika ini Jabatan Forensik dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup untuk mencari bahan bukti.

"Insya-Allah jika ada suspek yang melakukan perbuatan penjenayah, individu itu atau sesiapa sahaja yang berada di belakangnya tidak akan pernah terlepas daripada tindakan perundangan.

"Walaupun mungkin kita berbeza pendapat atau pandangan atau kepentingan tertentu, tetapi soal  nyawa tidak ada batas kemanusiaan. Kita tidak harus menggunakan kehidupan nyawa anak-akan ini sebagai bahan perbezaan pendapat jika ada perbezaan pendapat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Program Kesihatan Pergigian Warga Kolej Komuniti ‘Transformation With 1Smile Together' (TW1ST) Peringkat Kebangsaan 2017 di Sekolah Menengah Sains Bagan Datuk di sini Sabtu.

Pada Selasa ini, kerajaan akan mengadakan mesyuarat khas yang akan dipengerusikan oleh Ahmad Zahid bagi melihat semula aspek keselamatan maahad tahfiz di seluruh negara susulan kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, Kuala Lumpur, yang mengorbankan 23 nyawa awal pagi Khamis.

Mengulas lanjut Ahmad Zahid berkata beliau telah menyenaraikan menteri-menteri, ketua setiausaha kementerian, ketua pengarah,  jabatan dan agensi bagi mengadakan perbincangan untuk mencari penyelesaian terbaik.

Beliau turut mengulangi pendirian kerajaan tidak berhasrat untuk mengambil alih dan campur tangan dalam hal ehwal pentadbiran maahad tahfiz dan sekolah agama rakyat swasta.

Namun demikian, katanya pemilik maahad tahfiz atau sekolah agama swasta perlu mendaftar dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam di negeri masing-masing agar pemantauan dan bantuan dapat dilakukan.

"Kita tidak berhasrat untuk mengambil alih ataupun kita mahu merampas hak negeri-negeri berkenaan tetapi kita berhasrat untuk melakukan penyelarasan yang terbaik untuk rakyat keseluruhannya.

"Jangan khuatir kononnya diambil alih oleh jabatan agama Islam atau Jakim, tidak ada niat kerana kita  mahu membantu. Jangan ada prasangka yang negatif terhadap usaha-usaha penyelarasan ini. Jangan sudah terhantuk baru terngadah," katanya.

Beliau juga turut mengingatkan orang ramai agar tidak menimbulkan sebarang spekulasi dan menularkan rakaman kebakaran pusat tahfiz itu di media sosial kerana ia akan mengganggu siasatan. -Bernama


pusat tahfiz, Ahmad Zahid Hamidi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Galeri Foto Banjir Kilat P.Pinang

Artikel Lain