suria

19 Militan Ditahan, Sasar Penutup Sukan SEA & Perarakan Merdeka

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mematahkan rancangan kumpulan pengganas di negara ini, dipercayai penyokong Daesh, khususnya cubaan melakukan serangan ketika upacara penutup Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) dan Perbarisan Hari Kebangsaan Ke-60 di Dataran Merdeka, di sini minggu lepas.

Dalam kenyataan pertamanya selaku Ketua Polis Negara yang baharu, Datuk Seri Mohamad Fuzi  Harun berkata rancangan ganas itu dapat dibendung menerusi penangkapan 19 lelaki terdiri daripada lapan warga tempatan dan 11 warga asing dalam operasi pada 4 Julai hingga 30 Ogos lepas membabitkan enam siri tangkapan.

Menurutnya dalam siri tangkapan terbaru itu, polis Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas  PDRM bersama Unit Tindakan Khas Bukit Aman menahan suspek utama perancang serangan itu, seorang rakyat Filipina berumur 25 tahun, yang juga anggota Kumpulan Pengganas Abu Sayyaf (ASG) yang telah menyusup masuk ke Sandakan, Sabah sebelum ke Kuala Lumpur pada Disember 2015.

Beliau berkata dalam operasi awal pagi di Cheras, suspek utama turut ditahan bersama seorang lagi warga Filipina dan enam rakyat tempatan berumur antara 20 hingga 52 tahun.

"Maklumat turut mendedahkan bahawa suspek yang ditangkap ini, merancang untuk melancarkan serangan semasa upacara penutupan Sukan Sea KL2017 di Stadium Bukit Jalil dan Perbarisan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka," katanya.

Mohamad Fuzi berkata siasatan juga mendapati suspek utama itu pernah mengikuti  pertempuran bersama tentera Filipina, terlibat menculik enam tebusan warga Filipina dan melakukan penyembelihan seorang tebusan beragama Kristian di Selatan Filipina pada tahun 2010.

Lelaki terbabit juga pernah mengadakan pertemuan dengan Dr Mahmud Ahmad, Mohd Najib Hussein dan Muhammad Juraimee Awang Ramlee (rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan ASG sejak 2014)," katanya.

Berhubung operasi melibatkan lima siri tangkapan sebelum ini, Ketua Polis Negara berkata pada siri tangkapan pertama pada 4 Julai lepas, polis menahan seorang guru sementara warga Bangladesh yang bekerja di Sekolah Maahad Tahfiz Gombak, Selangor selepas disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas Jamatul Mujahideen Bangladesh iaitu sebuah kumpulan gabungan pengganas Daesh.

Katanya, lelaki berumur 25 tahun itu yang turut dikehendaki oleh polis Bangladesh telah memasuki negara ini pada 4 September 2016 bagi menyambung pengajian di sebuah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Tangkapan seterusnya melibatkan tiga lelaki terdiri daripada seorang rakyat Malaysia dan dua warga Maldives yang ditahan di Johor Bahru, Johor pada 7 dan 9 Ogos lepas berumur antara 29 hingga 40 tahun, katanya.

"Suspek warga Malaysia bekerja sebagai peniaga itu disyaki menyimpan enam naskah majalah Dabiq serta beberapa artikel berkaitan kumpulan Daesh di dalam telefon bimbit miliknya manakala dua lagi suspek bekerja sebagai juruteknik penyaman udara disyaki menggunakan Malaysia sebagai transit sebelum berlepas ke Syria," katanya.

Dalam tangkapan siri ketiga pula pada 11 Ogos lepas,  Mohamad Fuzi berkata ia melibatkan penahanan seorang pesara guru berumur 63 tahun dan dua beradik warga Iraq yang bekerja sebagai juruteknik.Katanya, pesara guru berkenaan dipercayai aktif mempromosikan kumpulan pengganas Daesh melalui dua akaun Facebook miliknya manakala dua suspek lagi disyaki bertindak sebagai komander kumpulan pengganas Daesh di Selatan Iraq.

Menurutnya, susulan itu polis menahan seorang warga Palestin dan warga Iraq masing-masing di Selangor dan ibu negara pada 15 dan 16 Ogos lepas.

"Suspek warga Palestin disyaki merancang untuk menyertai kumpulan pengganas Daesh di Selatan Filipina dan suspek warga Iraq pula disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas Albania yang mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas Daesh," katanya.

Tangkapan siri kelima melibatkan dua warga Indonesia di Petaling Jaya, Selangor pada 25 Ogos masing-masing berumur 29 dan 47 tahun.

Kedua-dua mereka ditangkap kerana disyaki aktif merekrut anggota baharu kumpulan pengganas Daesh dan merancang untuk berlepas ke Syria bagi menyertai kumpulan pengganas Daesh, katanya.

Mohamad Fuzi berkata, kesemua mereka ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan berkaitan keganasan, mengikut Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012 Akta 747.

Mohamad Fuzi yang sebelum ini merupakan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, dilantik sebagai  Ketua Polis Negara yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Khalid Abu Bakar yang bersara wajib pada Isnin.

Bercakap kepada wartawan sejurus selepas pelantikannya, Mohamad Fuzi berkata beliau akan kekal fokus kepada usaha memerangi pengganas termasuk mengukuhkan Bahagian Counter Terrorism PDRM bagi meningkatkan kemampuan bahagian itu di peringkat domestik mahupun antarabangsa. -Bernama

Pengganas, Ditahan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain