suria

Serangan Kelab Malam Kota Damansara Bukan Angkara Pengganas - Polis

Mohd Zani Che Din.

PETALING JAYA: Polis menolak motif keganasan yang menyebabkan serangan molotov koktail di sebuah kelab malam di Kota Damansara pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, serangan itu boleh dikaitkan dengan persaingan perniagaan dan peras ugut, dan polis telah mengelaskan kes tersebut sebagai cubaan bunuh.

Mohd Zani berkata, dua lelaki yang menaiki sebuah kereta jenis Audi tiba pada kira-kira pukul 4.10 petang dan melemparkan dua botol plastik berisi petrol dan mercun di luar kelab tersebut di Jalan PJU5/1.

Salah satu botol terbakar dan semburan petrol itu mencederakan seorang pekerja Bangladesh berdekatan.

"Suspek melarikan diri dari tempat kejadian selepas melepaskan koktail molotov.

"Mangsa yang berusia 30 tahun dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh selepas mengalami kecederaan di tangan dan kepala," kata Mohd Zani kepada pemberita di tempat kejadian.

Katanya, kedua-dua penyerang itu dipercayai berkulit cerah dan polis akan mengambil rakaman CCTV dari kawasan itu untuk mengenal pasti suspek.

"Kita tidak akan berkompromi jika ada unsur ancaman atau peras ugut.

"Kita mengklasifikasinya sebagai kes cubaan bunuh mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai insiden tersebut boleh menghubungi talian hotline polis di 03-2052 9999 atau balai polis terdekat.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Aliran Trafik Ke KL Sesak

Artikel Lain