suria

Kerabat Diraja, Kenamaan Bersama Umat Islam Solat Sunat Aidiladha

PETALING JAYA: Sambutan Aidiladha diraikan secara sederhana di seluruh negara bermula dengan umat Islam menunaikan solat sunat di pagi hari raya korban.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Al Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian, di Kota Bharu.

Keberangkatan tiba baginda jam 9.05 pagi diiringi Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Rizam Tengku Aziz.

Solat Aidiladha diimamkan oleh Imam Muda Masjid Al Sultan Ismail Petra, Abdul Bari Abdullah yang dihadiri lebih 5,500 jemaah.

Selesai solat, khutbah disampaikan Imam Tua masjid itu, Sabri Abdullah yang menekankan kepentingan ibadah korban pada Aidiladha.

Di SHAH ALAM, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha bersama lebih 2,000 rakyat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong di sini pagi ini.

Baginda tiba di masjid berkenaaan kira-kira pukul 8 pagi ini sambil diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin serta Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Turut hadir mengiringi baginda ialah Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Amin Ahmad Ahya, Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abd. Wahid, barisan Exco kerajaan negeri serta para pegawai tinggi kerajaan.

Sebaik sahaja menunaikan solat Aidiladha, baginda dan Raja Muda Selangor berkenaan menyerahkan lembu korban untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan selaras dengan tuntutan dalam Islam sebagai satu ibadah.

Di JOHOR BAHRU, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Pasir Pelangi di sini, bersama hampir 1,000 umat Islam.

Baginda tiba pada jam 8.20 pagi diiringi Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar dan suami Tunku Puteri Johor, Dennis Muhammad Abdullah.

Turut menyambut ketibaan ialah Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Azmi Rohani; Yang Dipertua Majlis Jumaah Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli; Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd dan barisan exco.

Solat Sunat Aidiladha diimamkan Imam Besar negeri, Hanif Naim, yang turut menyampaikan Khutbah bertajuk 'Korbanku untukmu'.

Sultan Ibrahim turut berkenan meluangkan masa kira-kira 10 minit untuk bersalaman dengan jemaah yang hadir sebelum berangkat meninggalkan masjid kira-kira jam 9.00 pagi.

Di KUANTAN, Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 2,000 umat Islam di Masjid Tengku Ampuan Afzan, Indera Mahkota di sini, Jumaat.

Baginda tiba kira-kira jam 8.30 pagi dengan diiringi dua anakanda, Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah dan Tengku Ahmad Muadzam Shah.

Solat  sunat Aidiladha diimamkan oleh Imam Besar, Masjid Tengku Ampuan Afzan, Muhammad Amin Abdul Mutalib manakala khutbah disampaikan Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman.

Selesai menunaikan solat sunat Aidiladha, Tengku Abdullah bersama jemaah melaksanakan ibadat korban yang diadakan di perkarangan masjid berkenaan.

Baginda menyumbangkan 10 ekor lembu dan biri-biri untuk korban.

Di IPOH, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 1,500 jemaah di Masjid Sultan Azlan Shah, Jalan Raja Muda Musa Mahadi, di sini.



Baginda tiba di masjid itu jam 8.40 pagi disambut Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan serta barisan Exco kerajaan negeri.

Turut menunaikan solat di masjid berkenaan ialah Raja Muda, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Di-Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Kecil Sulong, Raja Ahmad Nazim Azlan Shah Raja Ashman Shah.

Solat sunat berkenaan diimamkan oleh Imam Utama, Syed Mohd Muzaffar Syed Azlan.

Aidiladha

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain