suria

Semua Sekolah Akan Dipantau

Chong Sin Woon.

PETALING JAYA: Semua sekolah di negara ini akan dipantau dan bukan hanya 402 sekolah yang disenaraikan berdepan risiko berkaitan disiplin dan masalah dadah, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Chong Sin Woon.

"Semua sekolah berada dalam pemerhatian kita. Jika sesebuah sekolah itu tiada dalam senarai, tidak bermakna sekolah berkenaan tidak mempunyai isu disiplin, " katanya ketika dihubungi.

Dilaporkan, senarai 402 sekolah 'hotspot' di seluruh negara yang dikemukakan kepada polis untuk tindakan lanjut kerana mempunyai masalah disiplin dan dadah, didedahkan.

Sin Woon menggesa ibu bapa supaya bertenang kerana senarai tersebut hanya untuk memastikan perhatian khusus daripada Kementerian Pendidikan dan polis.

"Bukanlah sekolah-sekolah itu teruk atau bermasalah. Persepsi itu tidak betul," katanya.

Beliau meminta ibu bapa supaya melihat langkah berkenaan secara positif dan dinasihatkan agar tidak perlu memindahkan anak-anak mereka ke sekolah lain.

"Sekolah-sekolah ini masih selamat. Para pelajar selamat.

"Perkara akan seperti biasa di sekolah-sekolah ini. Akan ada lebih banyak program untuk mereka yang bermanfaat," tambahnya.

Daripada 402 sekolah, 311 sekolah di bawah Kategori 1 kerana masalah disiplin dan 91 lagi di bawah Kategori 3 disebabkan masalah dadah dan disiplin.

Sebahagian guru berasa kecewa apabila mendapati sekolah mereka berada dalam senarai tersebut, sementara beberapa pelajar pula mengatakan sekolah mereka sepatutnya disenaraikan.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Harry Tan Huat Hock berkata, kesatuan itu mahu mengetahui mengapa sekolah-sekolah yang baik turut disenaraikan.

"Kami hanya bingung dan memerlukan penjelasan," katanya kepada The Star.

Beliau turut meminta supaya kriteria yang menetapkan sekolah terbabit sehingga disenaraikan sebagai 'hotspot' didedahkan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain