suria

Awang Adek Pengerusi Mara Baharu

Datuk Dr Awang Adek Hussin

PUTRAJAYA: Bekas Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin dilantik sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) baharu berkuat kuasa 1 September ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengumumkannya menerusi satu kenyataan hari ini, berkata pelantikan itu mendapat persetujuan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Saya percaya dengan pengalaman yang dimilikinya mampu memimpin Mara dalam melaksanakan dasar dan perancangan oleh kementerian ini demi mencapai objektif Transformasi Negara,” katanya.

Awang Adek, 62, menggantikan Tan Sri Annuar Musa yang tidak berhasrat menyambung kontraknya sebagai Pengerusi Mara.

Annuar dilantik sebagai Pengerusi Mara pada 19 Julai 2013 dan perkhidmatannya disambung pada 12 Ogos 2015.

Kontraknya tamat Jumaat lepas (11 Ogos).

Awang Adek menjadi Timbalan Menteri Kewangan bagi tempoh 2006 hingga 2013 dan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dari 2004 hingga 2006.

Awang Adek juga pernah berkhidmat sebagai Duta Malaysia di Amerika Syarikat bagi tempoh 2014 hingga 2016.

Beliau dilantik sebagai senator Dewan Negara dari 2009 hingga 2013.

Awang Adek pernah bertugas sebagai Pensyarah Universiti Sains Malaysia dari 1983 hingga 1985 dan kemudian menyertai Bank Negara dari 1985 hingga 2001 dengan jawatan terakhir sebagai Penolong Gabenor Bank Negara.

Dalam politik, Awang Adek adalah Ketua Umno bahagian Bachok.

-Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain