Tambang ECRL Dijamin Tidak Membebankan - Semasa | mStar

Tambang ECRL Dijamin Tidak Membebankan

Najib (tujuh, kiri) ketika merasmikan majlis pecah tanah projek ECRL baru-baru ini. - Bernama

KOTA BHARU: Kerajaan persekutuan memberi jaminan tambang bagi perkhidmatan pengangkutan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) tidak akan membebankan pengguna.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan (MTPNK), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata beliau yakin kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan memperuntukkan sejumlah subsidi bagi menangggung sebahagian daripada tambang yang dikenakan terhadap pengangkutan awam tersebut, sama seperti perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT).

"Tiada negara di dunia ini yang membuat keuntungan melalui perkhidmatan awam. Umpamanya MRT, saya difahamkan tidak kurang 50 peratus kerajaan menanggung subsidi untuk tambang bagi perkhidmatan itu.

"Kalau ikut kos (pembinaan) memang tinggilah dan dalam masa sama subsidi yang diberikan bergantung kepada kewangan kerajaan. Bagaimanapun, gaji rakyat akan sentiasa meningkat dan mereka kena realisitik. Apapun kita akan pastikan tambang yang dikenakan adalah berpatutan," katanya.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata demikan pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat bersama ketua-ketua jabatan kerajaan Persekutuan di Wisma Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan di sini pada Ahad.

Sebelum ini, pembangkang mendakwa kerajaan akan mengenakan tambang yang tinggi terhadap perkhidmatan ECRL memandangkan kos pembinaannya adalah sangat tinggi.

Mengulas pembinaan ECRL di Kelantan, Mustapa berkata kerajaan persekutuan memperuntukkan kira-kira RM5 bilion untuk pengambilan 445 hektar tanah bagi pembinaan 70 kilometer (km) landasan serta lima stesen keretapi berkenaan.

"Pembinaan ECRL di Kelantan akan melalui dua fasa iaitu fasa pertama membabitkan pembinaan landasan kereta api sepanjang 46 km dari sempadan Terengganu-Kelantan dan pembinaan tiga stesen iaitu Tok Bali, Jelawat dan Tunjong.

"Fasa kedua pula membabitkan pembinaan landasan sepanjang 24 km dengan dua stesen iaitu di Wakaf Bharu dan Pengkalan Kubor,” katanya.

Mustapa berkata ECRL dijadual memulakan pembinaan stesennya di Tunjong pada hujung bulan ini membabitkan kawasan seluas lima hektar.

Projek mega ECRL yang melibatkan pembinaan landasan sepanjang 688 km dalam tempoh enam tahun dengan kos RM55 bilion, akan memendekkan masa perjalanan pergi-balik ke pantai timur Semenanjung, selain bakal menjadi pemangkin pertumbuhan serta kesan limpahan ekonomi dan impak sosial positif bagi negeri-negeri pantai timur. - Bernama

ECRL

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Pusat Perkhidmatan Boon Poh Diserbu

Artikel Berkaitan

Klik

default image

WKB 2030: Gandingan kerajaan-swasta penting untuk manfaat rakyat

SEKTOR swasta perlu berganding bahu dengan kerajaan sebagai fasilitator untuk memperbaiki ketidakseimbangan pendapatan di negara ini.

default image

Air Selangor kini pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air… pengguna bakal terima bil baharu!

MENDAPATKAN bekalan air bersih yang berterusan sudah menjadi satu kemestian dalam kehidupan masyarakat hari ini.

default image

UMP terajui usaha perkasa TVET di negara ini

SELEPAS 17 tahun ditubuhkan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) kini merupakan salah satu universiti utama di negara ini yang menawarkan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di peringkat tinggi.

default image

CPA Australia platform berkualiti, pantas capai kelayakan perakaunan diiktiraf global

JIKA anda mempunyai kelayakan yang sewajarnya dalam industri perakaunan, perbankan dan kewangan, ia boleh memberikan prospek kerja dan kepelbagaian projek kepada anda.

default image

Penerima sulung Anugerah Ikon Pesara sebak imbau saat bersama kanak-kanak disleksia – “Persaraan berbaloi... ada jadi pilot, arkitek dan peguam”

KARNIVAL Rasa Sayang (KRS) 2019 anjuran KWAP membuka mata bakal pesara dan pesara untuk bergiat aktif selepas persaraan.

Artikel Lain