suria

COO Rapid Penang Hadapi 41 Tuduhan Rasuah

Mohd Shukri (tengah) di Mahkamah Sesyen di Kuantan.

KUANTAN: Ketua Pegawai Operasi (COO) Rapid Penang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini Isnin atas 41 pertuduhan rasuah berjumlah RM438,418.91 yang diterima daripada empat syarikat bermula 2013 sehingga 2017 di negeri ini.  

Bagaimanapun tertuduh Mohd Shukri Abdul Rahman, 54, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan hakim, Datuk Habibah Mohamed Yusof.  

Tertuduh menghadapi 10 pertuduhan menerima rasuah secara tunai berjumlah RM31,500 daripada syarikat Alexander Dennise (M) Sdn Bhd sebagai dorongan membantu syarikat itu memperoleh kontrak pembekalan 80 bas setingkat dan 40 bas dua tingkat.  

Mohd Shukri juga didakwa dengan tiga pertuduhan menerima rasuah wang tunai RM300,000 daripada syarikat Jayonik MSC Sdn Bhd bagi projek 'Develop, Design, Manufacture, Supply, Delivery, Installations, Testing, Commissioning and Warranty of Bus Simulator System for Prasarana' yang dianggar bernilai RM8 juta.  

Selain itu, dia turut didakwa dengan 13 pertuduhan menerima rasuah wang tunai RM74,000 daripada syarikat Nato Auto and Engineering Sdn Bhd sebagai balasan meluluskan pembayaran untuk pembekalan alat ganti bas.  

Dia turut berhadapan dengan tujuh pertuduhan menerima suapan daripada syarikat yang sama dalam bentuk pembaharuan insurans kenderaan dan pembayaran cukai jalan untuk kenderaan milik peribadinya berjumlah RM13,057 sebagai balasan untuk tindakan itu.  

Mohd Shukri selain itu juga berhadapan dengan lapan pertuduhan menerima rasuah secara tunai daripada syarikat Yon Ming Auto  and  Industrial Park Sdn Bhd berjumlah RM19,861.91 sebagai balasan meluluskan bayaran untuk kerja-kerja pembekalan alat ganti bas.  

Kesemua kesalahan itu dilakukan sejak 2013 sehingga 2017 di beberapa daerah di negeri ini antaranya di Pekan dan Kuantan.  

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, jika sabit kesalahan.  

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Akram Gharib kemudian memohon kepada hakim supaya kesemua pertuduhan itu dibicarakan bersama selain pasport diserahkan kepada mahkamah.   

Beliau juga meminta tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin memandangkan kesalahan yang dilakukan itu adalah serius.  

"Jika dibenarkan diikat jamin, saya memohon kepada mahkamah agar menetapkan satu jumlah yang tinggi iaitu sebanyak RM300,000 memandangkan kesalahan dilakukan melibatkan jumlah yang besar,"  katanya.  

Bagaimanapun peguam tertuduh, Datuk Shukri Mohamad memohon agar jaminan dikurangkan kerana anak guamnya kini dalam proses mendapatkan rawatan penyakit kencing manis selain tertuduh juga telah memberikan kerjasama sepanjang siasatan kes itu.  <p class="BD Text" Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM150,000 dengan seorang penjamin selain mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan menetapkan 4 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes.  

Tertuduh kemudian membayar wang ikat jamin berkenaan.  Sebelum ini, Mohd Shukri juga didakwa di Mahkamah Sesyen, Pulau Pinang atas satu pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM70,000 daripada syarikat Jayonik MSC Sdn Bhd pada 20 April 2015.  - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain