suria

Anjing, Kucing Liar Ditangkap, Diletak Di Tempat Khas

KANGAR: Anjing dan kucing liar di Perlis akan ditangkap dan dikurung di sebuah tempat khas sebagai langkah waspada terhadap wabak anjing gila yang melanda beberapa negeri ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Mat Hassan berkata kerajaan negeri sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga serta berusaha memastikan wabak anjing gila itu tidak merebak ke Perlis.

"Kerajaan giat laksanakan penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan kesihatan di negeri ini terjamin. Antaranya pihak Majlis Perbandaran Kangar (MPK) berusaha buat pemantauan terutama ke atas anjing dan kucing liar.

"Sebelum ini, jika terdapat anjing liar yang berbahaya kepada orang ramai, kita akan musnahkan tetapi disebabkan banyak bantahan dari badan bukan kerajaan (NGO), kita hanya menangkap dan menempatkannya di satu tempat pengasingan," katanya kepada Bernama, Jumaat.

Pada 1 Julai lepas, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memaklumkan bahawa terdapat kes rabies dari Serian, Sarawak yang disahkan melalui ujian makmal pada 30 Jun 2017.

Sehubungan itu, Mat menasihatkan orang ramai agar sentiasa memantau haiwan peliharaan mereka agar tidak terkena penyakit anjing gila itu.

Katanya, tindakan terbaik ialah membawa binatang peliharaan mereka ke pejabat veterinar negeri untuk suntikan vaksin serta mendapatkan lesen pengesahan haiwan itu selamat dipelihara.

Bagaimanapun sehingga kini Perlis yang pernah diserang wabak anjing gila sekitar tiga tahun lepas, disahkan belum ada sebarang kes berkaitan dilaporkan, katanya.


anjing gila, Perlis

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain