suria

Siasatan Kes FIC Beli Hotel London Isnin Ini

KLANG: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memulakan siasatan Isnin ini berhubung pembelian sebuah hotel empat bintang di Kensington, London oleh Felda Investment Corporation (FIC).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, siasatan itu akan dimulakan dengan memanggil beberapa individu penting termasuk yang pernah disiasat berhubung Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) sebelum ini.

"Kita sedang menganalisis keperluan untuk memanggil saksi-saksi termasuk yang pernah dipanggil untuk kes FGV bagi membantu siasatan di bawah kes FIC ini. 

"Berapa ramai individu atau siapa yang akan dipanggil kita tengoklah nanti… buat masa ini kita tidak boleh dedahkan lagi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra Aidilfitri SPRM bersama penduduk kaum India di Kapar, di sini, Sabtu.

Beliau diminta mengulas mengenai perkembangan siasatan SPRM terhadap isu pembelian hotel tersebut.

SPRM dalam satu kenyataan semalam berkata suruhanjaya itu telah membuka kertas siasatan berhubung pembelian hotel itu antara tahun 2013 dan 2015.

Jelas Dzulkifli, siasatan itu bagi mengenal pasti sama ada wujudnya unsur rasuah dan salah guna kuasa dalam proses pembelian hotel tersebut. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain