suria

Kecoh Berebut Anak Di Hospital

Paparan skrin yang diambil dari rakaman insiden tersebut.

PETALING JAYA: Suasana di perkarangan Hospital Sungai Buloh bertukar kecoh apabila berlaku insiden berebut seorang kanak-kanak berusia dua tahun membabitkan beberapa individu pada tengah hari Jumaat.

Video berdurasi 1.33 minit yang menjadi tular di media sosial menyaksikan beberapa pengawal keselamatan hospital tersebut cuba untuk menenangkan keadaan.

Namun keadaan bertukar tegang apabila kanak-kanak berkenaan dilarikan menggunakan sebuah kereta berwarna hitam.

Malah, usaha pengawal keselamatan untuk mendapatkan kanak-kanak itu tidak berjaya apabila mereka dihalang pengawal peribadi sekumpulan individu terbabit sebelum beredar menggunakan sebuah lagi kenderaan berwarna putih.

"Mana bodyguard dia tadi, tangkap dia... tangkap dia. Bodyguard dia jangan lari, tangkap dia," kata orang ramai yang berada di tempat kejadian.

Dalam video itu turut kedengaran bunyi raungan seorang wanita yang dipercayai ibu kepada kanak-kanak yang dilarikan itu.

Sementara itu, pihak pengurusan Hospital Sungai Buloh dalam satu kenyataan menafikan wujud usaha sekumpulan individu untuk melarikan seorang pesakit kanak-kanak dari hospital terbabit.

Sebaliknya, pihak hospital menjelaskan kekecohan itu berpunca daripada isu perebutan giliran penjagaan anak.

Menurut kenyataan itu, isu penjagaan kanak-kanak terbabit telah pun diputuskan mahkamah sebelum ini terhadap keluarga tersebut.

"Bapa kanak-kanak tersebut telah mengambil anak keduanya dari penjagaan ibunya di hospital ini semasa menemani anak pertama dirawat di sini," demikian menurut kenyataan tersebut.

Artikel Sebelum

Artikel Lain