suria

Donald Trump Buat 'Uncle David' Makin Sengsara

David terpaksa menjual anak patung selama 13 jam sehari untuk menyara pengajian anak tunggalnya.

PETALING JAYA: Hidup warga emas, David Christopher, 66, yang pernah tular pada 2015 kini semakin terhimpit selepas Donald Trump dilantik menjadi presiden Amerika Syarikat (AS) sejak awal tahun ini.

David atau lebih popular dengan panggilan 'Uncle David Uptown' yang menyara kehidupan dengan menjual soft toys (anak patung) di kaki lima Uptown, Damansara terpaksa bekerja selama 13 jam sehari untuk 30 atau 31 hari berturut-turut.

David yang baru sahaja disahkan bebas daripada penyakit leukemia dua minggu lalu, harus menghantar hampir RM5,200 sebulan kepada anaknya yang melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik di Washington, AS.

"Dulu anak saya cari duit sendiri sebab dia belajar sambil bekerja. Tapi selepas Trump jadi presiden, pihak berkuasa menghalang pelajar sepertinya untuk bekerja dengan alasan tidak membayar cukai kepada kerajaan AS.

"Bila dia mempersoalkan tentang Trump, dia terima ancaman bunuh pula. Jadi saya kena kerja kuat untuk pastikan dia boleh habiskan pengajian," katanya yang mengirimkan sebanyak AS$300 (RM1,289) seminggu kepada anaknya.

David rela bekorban demi pelajaran anaknya. 

Walaupun sudah tidak lagi menghidapi kanser darah, David masih menderita penyakit darah tinggi dan kencing manis.

Dia yang ditemui mStar Online pada Khamis berterima kasih kerana ada doktor yang sudi datang mencuci dan membalut luka pada kakinya pada setiap hari.

Rutin harian David adalah membawa tujuh plastik anak patung dari rumahnya di Pandan Perdana ke Damansara dengan menaiki perkhidmatan perkongsian kereta, Uber.

"Tambang sehari dalam RM40 pergi balik dan saya kena keluar rumah seawal pukul 6 pagi untuk elakkan kesesakan jalan raya.

"Saya perlu jual sekurang-kurangnya 39 anak patung sehari demi anak saya," ujarnya yang pernah lima kali dirompak ketika sedang berniaga.

Setiap unit anak patung dijual pada harga RM10.

Biarpun hidupnya bagai 'sudah jatuh ditimpa tangga', David bertegas untuk tidak menerima wang derma daripada orang ramai kerana mahu menggunakan kudrat sendiri selagi terdaya.

"Saya sudah bebas kanser, tapi ada pula orang yang ambil kesempatan kononnya nak kutip derma untuk tampung kos rawatan saya.

"Saya nasihatkan agar orang awam tidak terpedaya dengan penipuan itu dan sekiranya benar-benar mahu bantu saya, datanglah beli anak patung di sini. Tak mahal, cuma RM10 seunit," pintanya.

Pada 2015, kisah David tular selepas individu tidak bertanggungjawab yang membuat tempahan sebanyak 250 anak patung daripadanya tidak muncul untuk mengambil barangan tersebut.

Orang awam yang prihatin dengan nasibnya menulis mengenai perkara itu di laman sosial.

Beberapa pelanggan yang tersentuh dengan kisah berkenaan mencarinya untuk membeli kesemua anak patung tersebut.

Artikel Sebelum

'Yi Mooi, Di Mana Kamu?'

Artikel Berikut

70 Tahun Jual Mi Kari

Artikel Lain