suria

Mazlan Mansor Ganti Abdul Samah

Mazlan Mansor.

SHAH ALAM: Bekas Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mazlan Mansor dilantik sebagai Ketua Polis Selangor yang baharu berkuat kuasa pada Jumaat.

Beliau menggantikan Datuk Seri Abdul Samah Mat yang bersara wajib selepas berkhidmat selama 41 tahun dengan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Majlis serah terima tugas di antara Abdul Samah dan Mazlan berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini dengan disaksikan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff.

Ketika ditemui pemberita kemudian, Mazlan berkata beliau akan meneruskan agenda dan dasar yang dilaksanakan Abdul Samah sebelum ini.

“Saya juga berharap dapat mengekalkan legasi kepimpinan cemerlang Datuk Seri Abdul Samah sepanjang mengepalai kontinjen Selangor ini terutamanya dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam di negeri ini.

“Oleh itu, saya memerlukan kerjasama daripada semua pegawai kanan, anggota IPK Selangor serta ketua-ketua polis daerah supaya mereka dapat memainkan peranan masing-masing dalam meneruskan segala yang dirancang sebelum in,” katanya.

Selain itu, beliau akan memberi perhatian kepada tiga agenda utama yang telah digariskan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan PDRM sepanjang mengetuai kontinjen itu.

Mazlan berkata tiga agenda itu ialah mengekang dan mengawal kadar jenayah, memperkukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan polis serta memperkasakan integriti dalam kalangan pegawai dan anggota polis negeri itu.

“Dalam mengawal dan mengekang jenayah, kita tidak hanya bertumpu kepada jenayah umum  (seperti samun dan curi) tetapi juga jenayah berkaitan narkotik dan ancaman dari media sosial.

“Begitu juga dengan sistem penyampaian, kita mahu berikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan kepada masyarakat termasuk dalam penyaluran maklumat berkaitan jenayah.

“Dalam memperkasa integriti pula,  kita mahu setiap pegawai dan anggota polis negeri ini mempunyai integriti yang tinggi supaya masyarakat mempunyai keyakinan terhadap pasukan,” katanya. -BERNAMA 

Mazlan Mansor, Selangor

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain