suria

Pekebun Dipenjara, Miliki 20 Imej Berkaitan Militan

KUALA LUMPUR: Seorang pekebun dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki 20 keping imej yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas, tahun lepas.

Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhi hukuman itu terhadap Muhammad Shahir Zamil Musa,25, bagi pertuduhan memiliki 20 keping imej di dalam telefon bimbit jenama Asus berwarna hitam miliknya yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Daesh atau yang mempunyai unsur perbuatan keganasan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di alamat No.8 Jalan RU9, Taman Rambai Utama, Bukit Rambai, Melaka pada 2.25 petang , 26 Nov 2016.

Mahkamah memerintahkan tertuduh yang berasal dari Bukit Rambai,Melaka itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap pada 26 November tahun lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dikenakan hukuman maksimum tujuh tahun penjara atau denda dan boleh dilucutkan hak mana-mana item tersebut.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Munirah Shamsudin @ Baharum memohon supaya tertuduh dikenakan hukuman penjara dalam tempoh panjang dengan mengambil kira faktor keselamatan awam.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia menanggung keluarga selain menyesal atas kesalahan yang dilakukannya.

Mengikut fakta kes, sepasukan anggota polis menyerbu rumah tertuduh dan menjumpai sebuah telefon bimbit jenama Asus milik tertuduh berwarna hitam di atas kerusi di bahagian rumah tamu rumah yang mengandungi imej gambar yang disyaki berkaitan kumpulan pengganas.--  Bernama

Shahir Zamil, Daesh

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain